Projek ECRL Kota Bharu-Pelabuhan Klang mencabar

Model Stesen ECRL Kota Bharu di Bandar Baharu Tunjong.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kementerian Pengangkutan memantau rapat pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merupakan infrastruktur nasional yang menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur dan Pantai Barat.

- Advertisement -

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kementeriannya berpuas hati dengan kemajuan pembinaan Projek ECRL secara keseluruhan hampir separuh siap dan melibatkan 1,200 tapak pembinaan di sepanjang jajaran 665 kilometer.

Katanya, kementerian juga optimis jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dapat disiapkan mengikut jadual pada Disember 2026.

Bagaimanapun menurut beliau pembinaan Projek ECRL sepanjang 665 kilometer dari Kota Bharu sehingga Pelabuhan Klang, Selangor begitu mencabar.

“Cabaran itu antaranya topografi yang melibatkan Banjaran Titiwangsa yang berbukit-bukau dan hutan tebal serta kawasan risiko banjir selain hujan lebat di negeri-negeri Pantai Timur,” katanya pada majlis pelancaran pembinaan stesen ECRL Kota Bharu di sini, hari ini.

Loke juga berkata, projek ECRL menerima pakai teknologi terowong dan struktur jejambat yang tinggi dengan reka bentuk jajaran bersandarkan kala purata ulangan average recurrence interval (ARI) untuk 100 tahun bagi memastikan kelestarian operasi kereta api.

Menurutnya juga perkhidmatan ECRL memudahkan pergerakan penumpang dan kargo merentasi empat negeri dengan lancar bertetapan dengan konsep seamless mobility.

“Pihak pengurusan projek juga memaklumkan kerja-kerja pengorekan bagi 20 daripada 40 terowong sudah berjaya ditembusi setakat ini, manakala kerja pemasangan rasuk jejambat sedang giat dijalankan.

“Projek ECRL dijangka mempunyai sebanyak 40 terowong yang meliputi panjang keseluruhan lebih 60 kilometer dan pembinaan jejambat panjang keseluruhan 127 kilometer di sepanjang jajarannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/5/2023

- Advertisement -