Mata wang BRICS ambil alih peranan USD?

DOLAR Amerika Syarikat (USD) telah menjadi mata wang antarabangsa terkemuka di dunia kerana pelbagai sebab yang terdiri daripada faktor ekonomi, politik dan sejarah. Dianggarkan kira-kira 60 peratus daripada semua rizab tukaran asing yang dipegang oleh bank-bank pusat adalah dalam USD manakala kira-kira 40 peratus daripada perdagangan global turut dinisbahkan kepada USD. Ini telah menjadikan USD sangat dominan dalam perdagangan global, dan turut dipanggil sebagai hegemoni USD.

Advertisement

Hegemoni USD dalam sistem kewangan global telah memberikan kuasa kepada negara Amerika Syarikat untuk menentukan serta mempengaruhi kesejahteraan global. Pada masa yang sama, dengan kuasa yang ada, negara Uncle Sam ini sering mempergunakan mata wang dan dasar monetari mereka sebagai senjata untuk menguasai ekonomi dunia. 

Walaubagaimanapun, sebahagian pengkritik berpendapat bahawa hegemoni ini telah memberi pelbagai kesan negatif selain mewujudkan banyak ketidakseimbangan dalam sistem kewangan global yang turut membawa kepada krisis kewangan dan ketidakstabilan ekonomi dunia. Sebagai contoh, krisis kewangan Asia pada tahun 1997 sememangnya berpunca daripada kenaikan mendadak kadar faedah USD oleh Bank Negara Amerika (Federal Reserve).

Oleh yang demikan, beberapa negara seperti BRICS (Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan) telah menyatakan hasrat untuk mencipta mata wang global baharu yang bertujuan mengurangkan pergantungan dunia kepada USD. Mata wang global baharu ini diharap mampu memberi pelbagai faedah kepada sistem kewangan global seperti memperkukuh integrasi ekonomi dalam negara BRICS itu sendiri, mengurangkan pengaruh Amerika Syarikat di pentas global dan melemahkan kedudukan USD sebagai mata wang rizab antarabangsa.

Sejak tahun 2014 lagi, negara-negara BRICS telah meneroka pelbagai cara untuk mengurangkan pergantungan mereka kepada USD. Mereka telah menubuhkan Bank Pembangunan Baru (New Deevelopment Bank) sebagai alternatif kepada Bank Dunia (World Bank) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund). Baru-baru ini, semasa Sidang Kemuncak BRICS ke-14 pada pertengahan tahun 2022, Presiden Rusia Vladimir Putin telah mengumumkan bahawa negara BRICS (Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan) akan berganding tangan untuk mengeluarkan “mata wang rizab global baharu” dan bersedia untuk bekerjasama secara terbuka dengan semua rakan negara-negara lain yang turut berhasrat untuk mengurangkan pergantungan mereka kepada USD.

Cadangan mata wang rizab global baharu oleh negara BRICS ini berpotensi menawarkan pelbagai pilihan pembiayaan yang lebih menarik, peluang pelaburan yang unik serta menggalakkan negara-negara lain untuk membentuk pakatan dalam membangunkan mata wang serantau mereka sendiri. Kesemuanya ini adalah dengan satu misi yang jelas iaitu untuk mencabar atau meruntuhkan hegemoni Amerika Syarikat dalam sistem kewangan semasa.

Namun begitu, ramai yang percaya bahawa hegemoni USD ini akan kekal kukuh dan berdaya tahan sebagai mata wang dominan dunia. Faktor sejarah Bretton Woods menjadi hujah utama mereka kepada faktor kukuhnya hegemoni USD ini selain keterbukaan dan ketelusan pasaran kewangan di Amerika Syarikat serta kebijaksanaan mereka dalam mengawal situasi geopolitik dunia. Sebagai contoh, Amerika Syarikat sentiasa menjadi kuasa besar utama dunia sejak akhir Perang Dunia ke II di mana banyak negara bergantung kepadanya dari sudut bantuan, keselamatan dan sokongan diplomatik. Ini secara tidak langsung membantu kepada pengukuhan USD sebagai mata wang yang dipercayai lagi stabil.

Selain itu, kemunculan sistem mata wang baharu mungkin berpontensi menimbulkan pelbagai risiko negatif yang ketara kepada ekonomi dan pasaran kewangan. Ini kerana, sistem tersebut akan mengubah dasar monetari sedia ada dan memburukkan lagi ketegangan geopolitik. Sehubungan itu, sebelum sistem mata wang baharu ini dilancarkan, semua pihak perlu sentiasa bersedia dengan pelbagai strategi dalam berhadapan dengan risiko-risiko yang akan muncul selain dari perlu sentiasa peka tentang perkembangan sistem kewangan global.

Secara umumnya, mengatasi isu hegemoni USD dalam sistem kewangan global adalah misi yang kompleks dan mencabar. Ia memerlukan perubahan ketara kepada landskap ekonomi dan kewangan sedia ada. Beberapa cabaran seperti akses terhad kepada pasaran kewangan antarabangsa, sekatan ke atas kebolehtukaran mata wang dan kebimbangan mengenai ketelusan serta kestabilan sistem kewangan perlu ditangani sebelum hegemoni USD boleh dicabar. Semua ini dianggap sebagai halangan yang ketara, dan mungkin mengambil masa untuk matawang BRICS serta negara-negara lain untuk bersaing dengan USD.  – HARAKAHDAILY 12/5/2023

Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di mohdedil@um.edu.my