Pihak lawan cari ruang buruk imej pemimpin PN

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kemudahan awam termasuk pili bomba bukan sahaja digunakan semasa kebakaran, sebaliknya menampung keperluan air rakyat yang tidak mencukupi.

- Advertisement -

Bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jangan pula ada pihak tertentu cuba untuk menangguk di air keruh.

“Kita tahu peraturan, sebagai sebuah kerajaan yang mentadbir Kelantan lebih 30 tahun, kita tahu bagaimana nak salurkan bantuan kepada rakyat selaras dengan undang-undang,” katanya ketika ditemui pada majlis Aidilfitri Dun Tanjung Mas Zon 3, di sini hari ini. (Foto atas)

Turut hadir Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim Dan Naib Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Nor Azariza Mohd Alawi.

Baru-baru ini tular ada pihak mendakwa ahli parlimen PAS ‘mencuri’ air daripada pili bomba untuk membekalkan air kepada penduduk.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, pihak lawan sentiasa mencari ruang untuk mengenakan imej buruk kepada pemimpin PERIKATAN NASIONAL (PN) khususnya wakil-wakil rakyat.

Menurutnya mereka hanya akan mencari ruang dan peluang bagi mempamerkan imej buruk pemimpin PN seperti yang berlaku terhadap ahli Parlimen Rantau Panjang Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof.

Takiyuddin juga berkata, segala keperluan dan bantuan kepada rakyat dilaksanakan mengikut saluran-saluran yang ditetap dan dibenarkan menurut undang-undang. – HARAKAHDAILY 12/5/2023

- Advertisement -