KOTA BHARU: Rakyat Kelantan berharap kesemua projek yang dirancang di negeri itu dapat dilaksanakan kerajaan pusat bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan pelaburan.
Menteri Besar Ustaz Dato Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, Kelantan memiliki potensi besar sebagai hub-pelaburan baharu di Malaysia.
Katanya, potensi tersebut dapat direalisasikan dengan memastikan kesemua projek yang telah dirancang khususnya di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK) dapat dilaksanakan.
“Saya yakin kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan mampu membantu memudahkan segala urusan berkaitan pembangunan di negeri Kelantan.
“Kerjasama itu sudah pasti untuk kesejahteraan dan kepentingan rakyat Kelantan sebagai salah satu negeri di Malaysia,” katanya ketika berucap semasa majlis rumah terbuka Malaysia Madani di perkarangan Stadium Sultan Muhammada IV, di sini, malam ini.
Yang turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan-timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ahmad turut menzahirkan rasa syukur memandangkan Kelantan dianugerahkan suasana aman dan sejahtera yang mana rakyatnya hidup aman dan damai merentasi kaum Melayu, Cina, India, Siam dan lain-lain. – HARAKAHDAILY 12/5/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!