Pemimpin kerajaan perlu ketepikan fahaman politik

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pemimpin kerajaan perlu mengenepikan fahaman politik ketika menjalankan tugas mereka dan bukan mengambil kesempatan menghentam pihak lain yang tidak sealiran.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, fahaman politik perlu diketepikan dan sebaliknya, menunaikan tanggungjawab secara profesional.

- Advertisement -

“Nak jadi menteri, nak jadi pemimpin kerajaan, politik kena tinggal sat (sekejap), tak boleh bawa fahaman politik parti ambil kesempatan tibai (menyerang) orang apabila masuk dalam kerajaan.

“Laksanakan tanggungjawab sebagai menteri dan bersihkan pemikiran nak hentam dan bedal orang lain atas faktor politik,” katanya di sini, semalam.

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika mengulas dakwaan bahawa beliau mengakui banyak lombong haram beroperasi di Kedah.

Katanya, fakta sebenar ialah 60 lombong haram yang disebut ketika Mesyuarat Majlis Mineral Negara (MMN) adalah di seluruh negara dan bukan di Kedah.

“Di Kedah hanya ada satu, di Bukit Enggang, Sik. Itu pun sudah ditutup dan yang terlibat sudah ditangkap dan didakwa,” katanya.

Berikutan maklumat yang tidak tepat ketika sidang media Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, beliau terpaksa memberi penjelasan memperbetulkan keadaan.

“Bila bidas balik, depa (mereka) kata orang yang bidas balik tu jahat. Depa kata, saya dedah rahsia mesyuarat walhal yang dedah tu depa. Ambil kandungan mesyuarat kemudian spin (memutar belit) supaya kita kena.

“Saya habaq (beritahu) dengan ikhlas sebagai butiran dalam mesyuarat, tapi depa yang bawa keluar, jadi saya kena jawab. Kalau mereka tak sentuh saya, saya tak perlulah jawab,” katanya.

Beliau berkata, lebih mengelirukan apabila pihaknya menerima sepucuk surat memohon agar menyenaraikan lombong haram yang sekarang beroperasi sedangkan semua itu adalah tanggungjawab kementerian berkaitan.

“Kalau ada banyak lombong haram di Kedah, puak-puak Pakatan Harapan (PH) tidak lah pergi hurung Bukit Enggang di Sik tu. Yang depa pi hurung sebab ada satu sahaja.

“Cuba naik nak tengok konon nak jadi hero. Kalau ada berlambak (banyak) rasanya semua ahli politik pakat jadi ahli geosains, geologis, kaji merata bukit,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/5/2023

- Advertisement -