Guna lambang BN bukti tidak faham hasrat rakyat

- Advertisement -

KENYATAAN Timbalan Pengerusi BN, Mohamed Hasan, bahawa BN akan mempertimbangkan permohonan parti-parti lain untuk menggunakan lambang BN pada PRN akan datang menunjukkan BN tidak memahami sentimen pengundi.

Beliau berkata sedemikian berikutan cadangan Ketua PAN Ketereh di Kelantan, Che Ibrahim Mohamed, agar PH menggunakan lambang BN pada PRN di Kelantan dan Terengganu.

Katanya lambang PH tidak diterima ramai di Kelantan dan Terengganu maka penggunaan lambang yang satu akan menunjukkan perpaduan dan kerjasama.

Pada PRU ke-15 tahun lepas, kesemua calon BN telah kalah di kedua-dua negeri tersebut. PN telah memenangi kesemua 14 kerusi di Kelantan dan 8 kerusi di Terengganu.

Nampaknya kedua-dua pemimpin ini seperti telah lupa lambang BN telah ditolak oleh rakyat. Menggunakan lambang yang sama pada PRN akan mengulangi keputusan yang sama.

Justeru rakyat perlu menolak BN dan rakan sekutunya PH kerana tidak memahami kehendak rakyat walaupun telah diberikan isyarat yang jelas oleh pengundi-pengundi Pantai Timur. Bagaimana mereka dapat menjadi kerajaan negeri yang prihatin jika mereka gagal memahami hasrat rakyat?

Kewujudan gabungan PH di Pantai Timur juga perlu dipersoalkan jika mereka menggunakan lambang BN pada PRN akan datang. Ia akan menjadi satu bukti bahawa PH tidak mendapat sokongan di sana.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Bendahari PAS Pusat – HARAKAHDAILY 11/5/2023

- Advertisement -