Pakistan kerah tentera henti kekacauan

Kekacauan di Peshawar selepas penahanan Imran Khan.
- Advertisement -

ISLAMABAD: Kerajaan Pakistan menempatkan tentera di kawasan yang dilanda keganasan berikutan penahanan bekas Perdana Menteri, Imran Khan yang diseret dari bilik mahkamah dan diarah ditahan selama lapan hari lagi atas tuduhan rasuah baharu.

Tindakan terhadap Imran Khan menimbulkan kemarahan penyokongnya yang melakukan bantahan, sekali gus meningkatkan kegawatan politik negara yang menghadapi masalah ekonomi itu.

- Advertisement -

Perdana Menteri, Shahbaz Sharif, dalam ucapannya kepada negara berkata, kekacauan yang dilakukan oleh penyokong Imran Khan merosakkan harta awam dan persendirian yang sensitif.

Katanya, ini memaksa kerajaan untuk mengerahkan tentera di ibu negara, wilayah paling ramai penduduk di Punjab dan di kawasan yang tidak menentu di barat laut.

Selepas Imran Khan ditangkap Selasa lalu, orang ramai di Islamabad dan bandar utama lain menyekat jalan raya, bertempur dengan polis dan membakar pusat pemeriksaan polis serta kemudahan tentera dalam keganasan yang menyebabkan enam orang terbunuh dan ratusan ditangkap.

Semalam, penunjuk perasaan menyerbu stesen radio di bandar barat laut, Peshawar.

“Keadaan seperti ini tidak pernah dilihat oleh rakyat Pakistan. Malah pesakit dibawa keluar dari ambulans dan ambulans dibakar,” kata Shahbaz Sharif selepas mesyuarat Kabinet.

Menyifatkan serangan demikian tidak boleh dimaafkan, beliau memberi amaran bahawa mereka yang terlibat dalam keganasan akan dikenakan hukuman yang boleh menjadi teladan kepada orang lain.

Shahbaz Sharif berkata, Imran Khan ditangkap kerana penglibatannya dalam rasuah dan terdapat bukti untuk menyokong pertuduhan itu.

Imran Khan yang digulingkan dalam undi tidak percaya tahun lalu oleh Shahbaz Sharif, ditahan di pekarangan pejabat polis di Islamabad. Di mahkamah sementara di situ, seorang hakim memerintahkan ahli politik berusia 70 tahun itu ditahan sekurang-kurangnya lapan hari lagi, sekali gus meningkatkan prospek lebih banyak kekacauan.

Penyokong Imran Khan membuat halangan dan membaling batu di jalan raya ibu negara Pakistan di Islamabad – AP

Sementara itu, Tentera Pakistan memberi amaran keras dengan berikrar akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingin membawa Pakistan ke arah perang saudara.

“Apa yang musuh negara tidak dapat lakukan selama 75 tahun, kumpulan ini yang memakai jubah politik dalam nafsu kuasa, telah melakukannya,” kata kenyataan itu sambil menambah bahawa tentera telah menahan diri, tetapi akan bertindak balas lebih lanjut.

Tentera menyatakan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang merancang atau mengambil bahagian dalam serangan di kemudahan tentera. Namun, kenyataan itu tidak menamakan secara langsung terhadap Imran Khan.

Penangkapan Imran Khan dengan menariknya dari perbicaraan di Mahkamah Tinggi Islamabad atas satu set pertuduhan, hanya untuk ditangkap untuk pertuduhan lain adalah konfrontasi terbaru yang menggoncang Pakistan.

Imran Khan adalah bekas Perdana Menteri ketujuh yang ditangkap di negara itu, yang turut menyaksikan campur tangan tentera yang berkuasa selama ini.

Kehadiran Imran Khan di Islamabad adalah untuk menghadapi pelbagai tuduhan rasuah. Ketika tiba, bilik mahkamah diserbu berpuluh-puluh ejen dari Agensi Anti-Rasuah, Biro Akauntabiliti Negara, yang disokong oleh pasukan separa tentera. Mereka memecahkan tingkap selepas pengawal Imran Khan enggan membuka pintu.

Bekas bintang kriket itu mengecam kes terhadapnya, termasuk tuduhan rasuah dan keganasan, sebagai plot bermotifkan politik oleh Shahbaz Sharif, penggantinya, untuk menghalangnya daripada kembali berkuasa dalam pilihan raya yang akan diadakan akhir tahun ini. – AP

- Advertisement -