OPR: Nak tarik pelabur, rakyat tanggung beban

Ahmed Razman (kanan) mengulas kenyataan Rafizi mengenai kesan kenaikan OPR yang sebaliknya bakal berisiko menambahkan lagi beban terhadap rakyat di negara ini.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR:  Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) di Malaysia yang didakwa bermatlamat untuk menarik pelabur luar bagaimanapun dikhuatiri bakal memperlahankan pertumbuhan ekonomi negara yang boleh menyebabkan harga barang tertentu di pasaran naik secara mendadak.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff  berkata apabila ramai peniaga tidak dapat menanggung kenaikan kos pinjaman perniagaan mereka kerana kadar OPR yang meningkat, jadi kesannya golongan peniaga terpaksa juga menaikkan harga barangan jualan masing-masing.

- Advertisement -

“Kenaikan OPR  turut menyumbang kepada kenaikan kos hidup yang menyebabkan rakyat terpaksa menanggung impak buruknya,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Ekonomi di Menara Prisma, di sini kelmarin.

Rafizi dalam kenyataannya mendakwa bahawa ekonomi global ketika ini sudah beralih kepada ketetapan seperti sebelum pandemik Covid-19; dan sekiranya OPR tidak dinaikkan, ia berisiko menyebabkan pelaburan tidak masuk ke Malaysia.

Memperincikan hujahnya dalam mengulas kenyataan Rafizi itu, Ahmed Razman berkata, sememangnya antara tujuan kadar OPR dinaikkan adalah untuk menarik pelabur luar negara untuk melabur ke dalam bon (janji hutang) kerajaan seperti Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

“Ini akan memaksa kerajaan menawarkan kadar kupon MGS dengan lebih tinggi untuk menjadikan ia kompetitif dan menarik minat pelabur luar,” jelasnya.

Namun menurutnya lagi, kenaikan kupon MGS mengakibatkan kerajaan terpaksa membayar semula hutang tersebut dengan kadar yang lebih tinggi dan bakal membuatkan kerajaan akan berbelanja dengan lebih berkemah.

Beliau menegaskan, bagaimanapun yang bakal menanggung risiko kenaikan OPR itu sudah tentu golongan rakyat yang akan terkesan impak penambahan dalam kadar faedah sedia ada  hutang-hutang seperti rumah, kereta, kad kredit dan seumpamanya yang menyebabkan kehidupan rakyat yang berhutang semakin dibebani.

“Tujuan kenaikan kadar OPR dan kadar faedah kad kredit adalah sama iaitu memaksa penghutang untuk membayar hutangnya tepat pada masanya walau apa pun.

“Kesannya kita dapat lihat hanya sebahagian sahaja yang dapat melakukan sedemikian manakala orang yang tidak mampu akan semakin tersepit yang menyebabkan kaya semakin kaya manakala miskin semakin miskin,” jelasnya.

Beliau menegaskan agar kerajaan jangan hanya sekadar melihat kepada kebaikan kenaikan OPR semata-mata kerana turun naik kadar OPR sememangnya mengundang risiko kesan buruk terhadap rakyat.

Sehubungan itu, nasihatnya kepada orang ramai agar tidak menambah lagi komitmen hutang sedia ada bagi menghadapi setiap krisis kewangan yang bakal melanda pada masa hadapan, kerana perbelanjaan tidak berhemah terjadi akibat daripada tabiat menghimpun hutang.

“Saya nasihatkan setiap rakyat untuk wajib bebas hutang walau apa pun supaya rakyat bukan sekadar dapat menyimpan wang semata-mata, tetapi juga lebih berhati-hati dalam berbelanja,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/5/2023

- Advertisement -