PH-BN tambah cemas ekoran muncul isu ‘numbers’

- Advertisement -

KETIKA kerajaan PH-BN masih lagi bermain tarik tali untuk menyalur peruntukan kepada pembangkang, tiba-tiba istana bersuara.

- Advertisement -

Pada Isnin lepas Pemangku Raja Pahang dilapor menitahkan kerajaan negeri memberi peruntukan adil kepada Adun termasuk pembangkang.

“Tempoh hampir 66 tahun merdeka, landskap politik perlu berubah.. sepatutnya telah matang dan yang menjadi kerajaan raikan pembangkang kerana juga dipilih oleh rakyat,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Dun Pahang.

Isu itu muncul ketika Putrajaya belum lagi menyalur peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang. Biarpun rundingan sudah dibuat pada Ramadan lepas, namun buah belum luruh sehingga sekarang.

Sedangkan rundingan diadakan pada 6 April lepas dengan Timbalan Perdana Menteri II Fadillah Yusof. Pembangkang diwakili Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin, Ketua Whip Parlimen PN Takiyuddin Hassan dan ahli parlimen Putrajaya Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Selepas lebih sebulan rundingan dibuat, peruntukan yang dijanji masih tergantung. Sebaliknya pada Isnin lepas Fadillah dilapor memberitahu pembangkang perlu mengemukakan jumlah peruntukan yang bakal diterima ahli parlimen PN.

Menurutnya pembangkang perlu mengemukakan cadangan peruntukan supaya dapat menjalin kerjasama ke arah kestabilan politik.

Maknanya seolah-olah ada syarat terselindung. Pembangkang seperti diajak mendukung kerajaan. Serupa seperti dilakukan Anwar Ibrahim ketika mengadakan perjanjian persefahaman dengan Ismail Sabri pada 2021.

MoU

Pada 14 September 2021 Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik ditangani antara Ismail dan Anwar.

Usaha serupa juga pernah digerakkan Muhyiddin Yassin, namun tidak mendapat sambutan ahli parlimen Pakatan Harapan (PH).

MoU Transformasi dan Kestabilan Politik antara lain menggaris mewujudkan lebih banyak jawatankuasa pilihan khas parlimen dan menstruktur semula jawatankuasa sedia ada.

Memastikan komposisi perwakilan parti di Dewan Rakyat. Jawatankuasa dipengerusikan secara sama rata dan kerajaan menyediakan pegawai sokongan serta dana.

Selain itu meminda peraturan mesyuarat bagi memastikan prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara teratur, peruntukan sama rata ahli parlimen kerajaan dan pembangkang. Dan memastikan ketua pembangkang diberi hak dan kemudahan sewajarnya.

Turut dipersetujui membentang dan melulus RUU anti lompat parti, mempercepat pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pengundi automatik. Elemen lain mengehadkan tempoh memegang jawatan perdana menteri hanya 10 tahun.
Apa yang cuba dibayang Fadillah seolah mengulangi MoU 2021. Sedangkan sebelum itu perdana menteri membayangkan tiada sebarang syarat dikenakan.

Anwar mencadangkan ada proses rundingan bagi cari kaedah yang baik. “Saya tidak menolak prinsip memberi peruntukan kepada pembangkang seperti yang diberikan kepada Ahli-Ahli Parlimen kerajaan.

“Ini pendirian saya daripada dulu tapi belum ada proses rundingan, yang ada proses permusuhan. Jadi saya usulkan mulakan proses rundingan…

“Kalau cepat selesai cepatlah lulus, kalau esok, lusa kita boleh lulus,” katanya di Dewan Rakyat 7 Mac lepas.

Seperti kata orang lama, sekilas ikan di air sudah tahu jantan betina. Nampaknya itulah sebenarnya impian kerajaan PH-BN. Lebih-lebih lagi keadaan tambah cemas ekoran muncul isu ‘numbers’.

Nombor

Ada disebut nombor 126. Maka MoU persefahaman politik dianggap perlu bagi mengekalkan kerajaan PH-BN. Ia bagi mengelakkan berulang seperti penggal lepas. Tiga perdana menteri dalam tempoh sepenggal.

Maka tidak hairanlah selagi belum ada perakuan daripada pembangkang untuk turut mendukung kerajaan PH-BN, peruntukan seperti tinggal impian.

Isu peruntukan pembangkang bukan sekadar kecoh di Dewan Rakyat, sebaliknya menular ke Dun Pahang dan Perak.

Bagi menyakat pembangkang, seorang Adun kerajaan Pahang tiba-tiba menjadikan Kelantan sebagai contoh. Katanya pembangkang di Kelantan tidak menerima peruntukan.

Sedangkan kerajaan Kelantan pada 22 Februari lepas meluluskan peruntukan kepada semua wakil rakyat pembangkang.

Malah bayaran dibuat pada 14 Mac 2023. Peruntukan bagi Mac dan April dibuat atas nama Bayaran Pengurusan Pusat Khidmat Dun.

Peruntukan itu meliputi program keceriaan, sosial, kemasyarakatan dan pembelaan rakyat miskin.

Ternyata kerajaan Kelantan berjiwa besar. Atas nama penyatuan ummah wakil rakyat Umno turut menerima labanya. Malah jawatan Penyelia Dun dimansuhkan untuk membolehkan peruntukan disalur terus kepada Adun Umno.

Sikap lunak kerajaan PAS Kelantan berpangkal Piagam Muafakat Nasional yang ditangani 14 September 2019. Biarpun Ketua Umno Kelantan Jazlan Yaakob memutuskan hubungan rasmi dengan PAS, namun Adun BN tidak diketepikan.

Hasilnya rakyat Machang menolak Jazlan pada Pilihan Raya Umum lepas. Mungkin situasi serupa boleh berulang di Pahang dan Perak selepas ini.

Isyaratnya sudah nyata pada PRU-15. Tanpa bantuan PH, Pahang dan Perak jelas milik PN. – HARAKAHDAILY 10/5/2023

- Advertisement -