Monsun Barat Daya dijangka bermula 15 Mei

Muhammad Helmi Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 15 Mei dan berterusan sehingga September ini yang akan menyebabkan taburan hujan lebih rendah berlaku di kebanyakan tempat pada tempoh itu.

- Advertisement -

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata semasa Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara lebih rendah dan keadaan atmosfera lebih stabil yang menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini.

“Sehubungan itu, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak berbanding bilangan hari hujan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Muhammad Helmi berkata hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah terutamanya pada awal pagi.

Garis badai ialah barisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.

“Dalam tempoh Monsun Barat Daya, fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal terutamanya pada Julai hingga September.

“Oleh itu, pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar, orang ramai juga disaran menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini,” katanya.

Orang ramai boleh mengakses maklumat cuaca terkini melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi MetMalaysia atau menghubungi hotline MetMalaysia 1-300-22- 1638 bagi pertanyaan lanjut. – BERNAMA

- Advertisement -