Kelantan terus komited kekal kawasan hutan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri meluluskan cadangan yang dikemukakan Jabatan Perhutanan Negeri untuk membangunkan Program Terapi Perhutanan di Kelantan.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, program terapi itu selaras keupayaan Kelantan memiliki 51 peratus kawasan hutan dan 42 peratus kawasan hutan simpan kekal berkeluasan 629,880.95 hektar.

“Pada tahun ini kerajaan negeri meluluskan saranan Jabatan Perhutanan Negeri untuk mewujudkan dan membangunkan program terapi perhutanan di Kelantan.

“Ia merupakan konsep dibangunkan melalui penyelidikan untuk mengekalkan atau memulihkan kesihatan fizikal dan mental manusia dengan melakukan aktiviti kesihatan dalam hutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri di Taman Eko Rimba Jeram Linang di sini hari ini.

Turut hadir anggota Exco Kerajaan Negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail; Timbalan Setiausaha Kerajaan, Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dan Pengarah Perhutanan Abdul Wahab Deraman.

Mohd Amar juga berkata, kerajaan negeri terus komited untuk mengekalkan kawasan hutan yang mencukupi bagi kesejahteraan hidup serta tidak mengenepikan arus pembangunan dan tekanan ekonomi sekarang.

“Pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar perlu diseimbangkan, saya percaya sektor perhutanan akan terus memainkan peranan sebagai salah satu penyumbang hasil kepada kerajaan negeri,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/5/2023

- Advertisement -