PN Pahang sambut baik titah Pemangku Raja

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PERIKATAN NASIONAL Pahang menyambut baik titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

- Advertisement -

“Kami daripada Perikatan Nasional Pahang menyambut baik dan menjunjung titah Tuanku,” ujar Ketua Pembangkang, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Katanya, antara kesimpulan beliau berkenaan dengan titah Pemangku Raja Pahang ialah isu-isu yang melibatkan kelestarian alam dan khazanah kekayaan negeri hendaklah diurus dengan teratur dan cermat.

Tambahnya, peruntukan hendaklah diberikan kepada pembangkang untuk disalurkan kepada rakyat yang telah memilih sebagai wakil mereka.

Beliau juga menyatakan penghargaan kepada kerajaan negeri yang telah menggazetkan kawasan Hutan Simpan Gunung Ais sebagai kawasan kawalan bagi Harimau Malaya.

“Jalan-jalan yang berlubang perlu disegerakan kerja baik pulih bagi keselesaan dan kemudahan rakyat,” ujarnya lagi.

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dalam titah baginda antaranya menitahkan kerajaan negeri memberikan peruntukan adil kepada ADUN pembangkang.

Menurut baginda, hampir 66 tahun merdeka landskap politik perlu berubah.

Titah baginda, 66 tahun itu sepatutnya telah matang dan yang menjadi kerajaan meraikan pembangkang kerana mereka juga telah dipilih oleh rakyat.

“Peruntukan yang adil perlu diberikan kepada mereka juga,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 8/5/2023

- Advertisement -