Dadah ‘Segi Tiga Emas’ diseludup ke Narathiwat sebelum ke Malaysia

Mejar Jeneral Anuruth Imarb
- Advertisement -

NARATHIWAT: Polis Thailand mendedahkan syabu dan pil yaba merupakan antara dua jenis dadah yang banyak diseludup masuk ke Malaysia untuk dipasarkan.

- Advertisement -

Komander Polis Wilayah Narathiwat Mejar Jeneral Anuruth Imarb berkata, kedua-dua jenis dadah itu mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.

Katanya, kegiatan haram itu dipercayai dibawa masuk melalui pangkalan haram di sempadan Thailand-Malaysia di sepanjang Sungai Golok.

“Penyeludupan dadah itu dibawa masuk dari wilayah utara timur laut negara ini iaitu di kawasan ‘Segi Tiga Emas’. Dadah-dadah tersebut kemudian dibawa ke Narathiwat untuk diseludup ke negara jiran menggunakan pelbagai cara.

“Justeru, kerajaan Thailand amat bimbang dengan situasi tersebut kerana Narathiwat merupakan wilayah dan lokasi yang mudah untuk pengedaran dadah khususnya ke Malaysia di sempadan Kelantan,” katanya semasa sidang media di pejabatnya di sini semalam.

Anuruth Imarb juga berkata, setakat ini pihaknya berjaya membuat rampasan dadah terbesar dengan nilai sebanyak RM20 juta seberat 2,000 kilogram (kg) pada 2 Julai dan 10 Ogos tahun lepas.

Menurut beliau juga pihaknya sentiasa menyusun pelbagai langkah dan strategi untuk menyekat dan menyelesaikan masalah pengedaran dadah. – HARAKAHDAILY 7/5/2023

- Advertisement -