Penalti lewat permainan punah Manchester United

Alexis MacAllister merembat gol kemenangan Brighton
- Advertisement -

Pemain tengah Brighton & Hove Albion, Alexis MacAllister, merembat gol tunggal perlawanan melalui sepakan penalti untuk memberikan kemenangan 1-0 terhadap Manchester United dalam pertembungan Liga Perdana.

Kekalahan itu menyebabkan skuad kendalian Erik ten Hag kekal di tangga keempat dengan 63 mata, empat mata di depan Liverpool di tempat kelima, manakala Brighton naik ke tangga keenam dengan 55 mata.

- Advertisement -

Kemenangan itu membolehkan Brighton membalas dendam terhadap kekalahan kepada Manchester United menerusi penentuan sepakan penalti pada separuh akhir Piala FA, 11 hari lalu.

Pasukan tuan rumah menguasai perlawanan dan mampu mendahului seawal minit keempat apabila pemain sayap Jepun, Kaoru Mitoma menyempurnakan hantaran Victor Lindelof, tetapi rembatannya terus kepada David De Gea.

Namun Mitoma menjadi ancaman sepanjang perlawanan, mencipta beberapa peluang untuk dirinya sendiri sebelum pemain gantian, Danny Welbeck merembat tinggi dan tersasar pada awal babak kedua ketika United bergelut mempertahankan gawang gol.

Selepas dilayangkan kad kuning pada babak pertama, pemain tengah United, Casemiro bernasib baik kerana tidak dilayangkan kad kuning keduanya ketika menghadang MacAllister pada babak kedua.

Suasana panas pada minit ke-68 apabila pemain sayap United, Antony, yang berang kerana tidak diberikan sepakan percuma, dihukum kerana menerjah MacAllister sebelum bertelagah dengan Lewis Dunk yang menyebabkan kedua-dua pemain dilayangkan kad kuning.

Brighton terus mengasak untuk mencari kemenangan dengan pemain gantian, Solly March dan MacAllister, memaksa De Gea beraksi hebat ketika perlawanan menghampiri penamat.

Ketika United kelihatan berpuas hati dengan keputusan seri, pengadil memutuskan Luke Shaw memegang bola dalam kotak penalti selepas semakan VAR. MacAllister meledak sepakan penalti untuk memastikan kemenangan.

“Sungguh gembira dan gembira dengan persembahan dan keputusan itu. Kami berhak memenangi separuh akhir (Piala FA) tetapi tewas menerusi sepakan penalti, hari ini kami menang dengan penalti,” kata jurulatih Brighton, Roberto de Zerbi. – REUTERS

- Advertisement -