Umrah: Mantop Travel, PASTI meterai MoU

- Advertisement -

GOMBAK: Syarikat pengendali umrah, Mantop Travel & Tours Sdn. Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama PASTI Travel & Tours di bangunan PASTI Pusat di Batu Caves, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Pengerusi Mantop Travel & Tours, Zaidy Abd Talib menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT dapat memeterai MoU bersama PASTI Travel sebagai satu pencapaian baru kepada Mantop Travel.

“Objektif kita untuk melebarluaskan khidmat kita supaya dapat membawa seramai mungkin ummah untuk mengerjakan umrah di Makkah dan ziarah Madinah,” ujarnya.

Pengerusi PASTI Travel & Tours, Muhtar Suhaili pula berkata, projek pertama umrah itu pada cuti sekolah bulan Ogos iaitu 26 Ogos hingga 6 September.

“Sebagaimana yang Pengerusi Mantop menyebutkan, kita merasai sendiri umrah bersama Mantop Travel & Tours.

“Saya sekeluarga akan bersama menunaikan umrah sebagai tanda sokongan. Kita harapkan supaya lebih ramai lagi bersama kita,” katanya pada sidang media selepas memeterai MoU.

Menurut beliau, umrah bersama PASTI itu adalah hadiah kepada guru-guru yang terpilih dan akan dibawa untuk menunaikan umrah selain terbuka kepada orang awam.

Katanya, jumlah guru PASTI seluruh negara seramai 9,002 orang dan pemilihan itu tertakluk cadangan daripada PASTI setiap negeri.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PASTI Travel, Kamarul Arif Ambak manakala Mantop Travel oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Ustaz Mohd Farhan Madzlan.

Ia disaksikan oleh Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Damanhuri Dol; Muhtar Suhaili, Zaidy Abd Talib serta Ahli Lembaga Pengarah PASTI Travel. – HARAKAHDAILY 3/5/2023

(Berita lanjut dalam akhbar Harakah akan datang)

- Advertisement -