KOTA BHARU: PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) dianggap mendapat semangat baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi dengan penglibatan bekas-bekas pemimpin kanan Umno.
Kehadiran mereka termasuk bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa dan bekas Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar dianggap mampu memberi momentum baharu.
Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat berkata, pemimpin terbabit masih mempunyai ramai pengikut dan boleh memberi kelebihan kepada PN menjelang PRN tidak lama lagi.
“PAS sentiasa membuka keahlian kepada bekas-bekas pemimpin Umno bagi meneruskan perjuangan di bawah wadah baharu yang berteras Melayu dan Islam.
“Sejak dari dahulu lagi pilihan orang Melayu hanya PAS atau Umno. Dan apabila Umno bermasalah sudah tentunya PAS menjadi pilihan terbaik,” katanya ketika ditemui sempena sambutan Hari Raya di Kota Darulnaim di sini hari ini. (Foto atas)
Baru-baru ini Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendedahkan lebih 20 bekas pemimpin kanan dan ahli Umno akan menyertai PAS dan PN tidak lama lagi.
Wan Roslan yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, perpaduan orang Melayu dan rakyat pelbagai kaum pernah berlaku selepas tragedi 13 Mei 1969 ketika negara di bawah teraju Tun Abdul Razak Hussein. – HARAKAHDAILY 3/5/2023