BN tadbir Kedah 51 tahun gagal selesai masalah air

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) mentadbir Kedah lebih 50 tahun bermula sejak merdeka sehingga tahun 2008, namun gagal menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, apa yang berlaku sekarang kerajaan Perikatan Nasional (PN) mewarisi kelemahan kerajaan sebelum ini iaitu BN dan PH.

Katanya projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) dan penggantian paip rosak tertangguh ketika Kedah di bawah BN dan PH.

“Bagaimanapun kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor sudah berusaha untuk menyelesaikan masalah itu.

“Sekarang projek menaik taraf lima LRA berjalan dengan baik dan mengikut perancangan ditetapkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada Himpunan Madani Jumaat lepas Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dilapor mengajak rakyat memilih PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana mendakwa kerajaan PN gagal menangani masalah bekalan air.

Ahmad yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata, pemimpin terbabit sepatutnya perlu merasa bertanggungjawab di atas kelemahan pentadbiran BN di Kedah sebelum ini.

Menurutnya kenyataan pemimpin terbabit bukan sahaja cuba menutup masalah berpunca daripada mereka sebelum ini, bahkan tidak faham konsep fedaralisme.

“Kerajaan persekutuan sewajarnya bertanggungjawab membantu negeri menangani masalah bekalan air dan bukannya menyisih kerana perbezaan ideologi politik.

“Senang cakap kenapa hampa (PH) nak kalut benda yang orang tengah buat. Masa hampa jadi kerajaan pasai apa tak buat,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 2/5/2023

- Advertisement -