Belajar membuat berita ringkas

- Advertisement -

DI BAWAH adalah beberapa contoh bagi berita ringkas yang tidak mempunyai cakap ajuk. Hanya tiga atau empat perenggan, ia sudah boleh dijadikan berita ringkas. Dengan menggunakan sumber yang sama, kita boleh mempelbagaikan persembahan berita. Pastikan isi yang paling penting dan terkait dengan tajuk, diletakkan di atas, biasanya pada tiga perenggan pertama, jika berita itu agak panjang. Juga mestilah diambil dari sumber yang tepat dan faktanya betul. 

Kita cuba ambil berita berkenaan Parti PAN. Ini hanyalah sebagai pameran sahaja, bukan untuk siaran rasmi mana-mana portal berita. Namun contoh-contoh berita ringkas ini masih banyak yang boleh diperbaiki.

Pimpinan PAN nafikan kenyataan, mohon maaf kepada parti ‘bapa ayam’

Timbalan Presiden PAN, Datuk Seri Salahuddin Ayub, telah menyatakan permohonan maaf kepada Presiden Umno yang suatu ketika dahulu pernah digelar sebagai kumpulan yang suka melacurkan atau sefaham maksudnya, ‘bapa ayam’ orang oleh salah seorang pemimpin PAN.

Permohonan maaf itu dilakukan kerana Ketua Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad, mempertikaikan permohonan pengampunan diraja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman atas kesalahan pecah amanah.

Untuk rekod, tindakan salah seorang pemimpin PAN yang menyamakan Umno sebagai orang yang melacurkan pihak lain kerana mahu menyindir Presiden PAS, untuk tidak berbaik dengan Umno, sewaktu mereka keluar PAS dahulu.

Timbalan Presiden PAN, mohon maaf kepada Ketua Parti Perasuah

Tindakan salah seorang pemimpin PAN, Khalid Samad mempertikaikan permohonan pengampunan diraja oleh mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Yang di-Pertuan Agong, telah diselesaikan dengan cara baik oleh Timbalan Presiden mereka.

Datuk Seri Salahuddin Ayub hadir ke majlis hari raya dan bertemu sendiri Presiden parti perasuah, iaitu satu jolokan yang pernah diberikan oleh Presiden PAN kepada parti Umno kerana menurut PAN, terlalu banyak kes rasuah yang telah dilakukan oleh Umno, bagi menjernihkan keadaan.

Gelaran itu diberikan dalam banyak ceramah-ceramah beliau sebelum kemudiannya didiamkan PAN setelah bersatu di bawah payung pakatan politik yang sama dengan Umno-BN.

Parti PAN segera mohon maaf kepada parti pengamal nepotisme dan kronisme

Setelah diugut oleh Umno, salah satu komponen parti dalam PH, PAN melalui Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub hari ini tampil bagi memohon kemaafan atas kritikan salah seorang pimpinan mereka dan menyifatkan ia hanya sebagai pandangan peribadi.

Permohonan maaf PAN kepada parti Umno, yang pernah dilabelkan sebagai parti pengamal nepotisme dan kronisme itu, adalah dibuat bersempena semangat aidilfitri serta mahu memperkukuhkan kedudukan pakatan bagi menghadapi PRN di enam negeri nanti.

Panggilan itu dibuat adalah kerana Umno-BN terlalu banyak isu seperti itu dan didakwa hanya menjaga kepentingan kontraktor, rakan dan keluarga mereka sahaja ketika berkuasa, menurut pimpinan PAN ketika itu.

PAN, pesalah dan bakal banduan, bermaafan 

Kenyataan salah seorang orang besar PAN mengeluarkan kenyataan yang mengguris hati pesalah kes 1MDB dan SRC, telah diselesaikan dengan baik oleh Timbalan Presiden PAN dengan mengeluarkan kenyataan bersama dengan bakal banduan yang ingin PH masukkan dalam penjara sewaktu berkempen PRU15 dahulu yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi.

Timbalan Presiden PAN, Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan kenyataan itu adalah pandangan peribadi individu itu dan bukannya kenyataan rasmi parti PAN, apatah lagi ketika saat yang genting yang mereka di dalam PH saling memerlukan bagi menang PRN nanti, walaupun gabungan itu mempunyai banduan yang sedang dipenjarakan kerana didapati bersalah atas beberapa salah laku semasa berkuasa.

Hasrat PH mahu memenjarakan Zahid, tidak lagi menjadi rahsia kerana semua pimpinan PH di dalam kempen pilihan rayanya telah berjanji kepada rakyat untuk memasukkan Zahid ke penjara dan mengekalkan Datuk Seri Najib Razak di dalam tirai besi, jika PH menang dan menyebabkan rakyat mempercayainya dan memberikan undi.

Parti perompak maafkan Parti PAN

Amalan bermaaf-maafan adalah suatu budaya yang amat tinggi nilainya, apatah lagi sewaktu umat Islam masih dalam kehangatan menyambut lebaran, setelah sebulan berpuasa.

Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi yang juga dikenali sebagai parti perompak, nama yang diberikan oleh Parti PAN dalam kempen-kempen PRU15 dan 14 mereka, telah bersetuju memaafkan tindakan keterlaluan salah seorang pimpinan PAN terhadap Umno.

Kenyataan Ketua Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad, seperti mahu menafikan hak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada diberikan hak keampunan, sama seperti Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Umno dikatakan banyak merompak duit negara ketika berkuasa dahulu, sekarang tidak lagi dibangkitkan isu perompakan sebegitu kerana mahu menjaga hati dan perasaan rakan komponen PH.

PAN perjelas salah faham kenyataan terhadap parti penyamun

Timbalan Presiden PAN, Datuk Salahuddin Ayub hari ini secara terbuka membuat permohonan maaf kepada Presiden ‘Parti Penyamun’ atau Umno kerana kenyataan terbuka oleh salah seorang pemimpin kanan mereka berkenaan isu rayuan oleh mantan Perdana Menteri bagi mendapatkan pengampunan diraja.

Sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai pandangan peribadi Ketua Pengarah Komunikasi mereka, Khalid Samad, Salahuddin juga menyatakan ia adalah salah faham sahaja dan boleh diselesaikan.

Parti Penyamun itu disebut dalam lirik sebuah lagu popular yang dinyanyikan oleh PH ketika kempen mereka dalam PRU15 dahulu yang merujuk kepada Umno yang mana menghadapi kes-kes yang sedang dan telah dibicarakan kerana salah guna kuasa wang rakyat.

Bagaimanapun lagu itu langsung tidak dinyanyikan lagi oleh PH setelah Umno turut menyertai PH dalam kerajaan walaupun tiada penghakiman yang menyucikan Umno sebagai penyamun seperti yang diejek oleh PH dahulu.

Lagu itu kemudiannya ditawarkan kepada Datuk Mas Ermieyati Shamsudin daripada PN untuk digunakan dalam program PN oleh penggubah lagu itu sebagai ganti, setelah terdapat sedikit kontroversi mengenai lagu lain yang digunakan oleh PN, tidak dibenar digunakan oleh komposer asal.

PAN kekal dengan prinsip rahmatan lil alamiin

Parti PAN membuktikan kepada rakyat Malaysia yang mereka mengekalkan slogan rahmatan lil alamin sebagai prinsip utama perjuangan mereka dalam politik di Malaysia.

Sebagaimana sikap pemaaf yang digalakkan dalam Islam, PAN, melalui Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, hari ini telah meminta maaf atas sikap yang tidak tepat melalui kenyataan Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad, yang menyentuh secara tersasar berkenaan isu pengampunan Datuk Seri Najib.

PAN tegas akan memaafkan dan bersedia bersetuju membebaskan semua penjenayah, musuh mereka sebelum ini yang sedang dihukum, yang mana yang mereka fikirkan penting serta diperlukan bagi menghadapi PRN yang tidak berapa lama lagi.

PAN juga tidak mahu memanjangkan isu ini kerana dibimbangi akan menyebabkan mereka kehilangan kerusi Melayu dalam PRN nanti akibat daripada penyokong Umno yang tidak berpuashati kepada mereka.

MOHD NASIR ABDULLAH
2 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 2/5/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -