30,000 rakyat Perlis hadir majlis Aidilfitri

- Advertisement -

KANGAR: Lebih 30,000 pengunjung hadir ke Majlis Aidilfitri Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Perlis bersama rakyat di Dewan 2020, di sini hari ini.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli merasa teruja dan seronok dengan suasana harmoni itu hasil kerjasama 36 jabatan yang menyediakan hampir 40 menu kepada tetamu.

“Saya berasa cukup seronok dan teruja  atas komitmen padu dan hebat dari semua yang terlibat dan saya pasti ini usaha sehabis baik mereka bagi menyambut dan meraikan ribuan tetamu pada hari ini.

“Saya difahamkan hampir 40 menu disediakan dengan kerjasama dari 36 jabatan terlibat sangat sedap dan menarik,” katanya.

Majlis turut meraikan golongan kanak-kanak dengan pemberian 2,000 sampul duit raya.

Menurut beliau lagi, pada Ramadan lepas, Perlis berjaya mengurangkan sebanyak satu tan kutipan sampah.

“Ramadan lalu saya dimaklumkan negeri kita telah berkurangan sebanyak satu tan kutipan sampah.

“Ini menunjukkan perkembangan positif kerana hasrat saya ingin melihat negeri bersih dari sampah sarap dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Katanya lagi, sungguhpun pengurangan itu berlaku di bulan Ramadan, namun ia merupakan permulaan baik ke arah negeri bersih dan ceria.

Dalam pada itu, kerajaan negeri tidak melupakan golongan asnaf serta rakyat yang diuji dengan kejadian ribut pada Ramadan lalu.

“Alhamdulillah kerajaan negeri bersama dengan agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) telah menyalurkan bantuan pelbagai bentuk yang bernilai lebih RM200,000.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada agensi kerajaan khususnya Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta semua yang terlibat,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/4/2023

- Advertisement -