My observation: Sedikit catatan mengenai KP JKOM

- Advertisement -

BERSUNGGUH Ketua Pengarah (KP) JKOM merangkap ketua propaganda kerajaan madani menulis berkenaan PAS. Dia mendakwa dulu dirinya penyokong PAS. Tetapi, sekarang PAS sudah banyak berubah. Mantan Pensyarah Sains Politik UKM ini kata:

1. PAS kini perguna, perkudakan dan manipulasi agama Islam demi kuasa.
2. PAS kini perjuang kaum dan bangsa yang dulunya dikatakan assabiyyah.
3. PAS kini perlekeh kebenaran, jumud, keliru dan politik kebencian.
4. Pentaksub PAS akan serang secara berjemaah tanpa adab, akhlak dan gelaran jelek.
5. PAS kini mesra rasuah.
6. PAS kini menjanjikan syurga kepada penyokong dan mengugut neraka kepada penentangnya.

Kesimpulan di akhirnya, KP JKOM menyeru rakyat dan anak muda tolak PAS demi Malaysia Sejahtera sambil memerli kata-kata ‘kito sudah cukop jumloh’. 

Kasihan melihat profesor ini ‘try hard’ menyerang PAS demi menunjukkan dia berfungsi sebagai KP JKOM JPM lantikan Perdana Menteri ke-10 (PMX).

Sudah terang lagi bersuluh dengan jawatan sebagai ketua propaganda kerajaan madani mestilah dia perlu menyerang pembangkang kan?

Takkan dia nak menulis kebaikan PAS dan menyerang PMX yang melantiknya itu? 

Cuma, dia sebagai bekas Pensyarah Sains Politik dan pernah menjadi penganalisis politik perlulah bersikap adil dan amanah dengan disiplin ilmunya.

Usahlah semua benda di pihak lawan hendak dijadikan hitam manakala yang pada diri sendiri hendak diputihkan sesucinya. Bukankah itu pentaksub namanya?

Mengapa KP JKOM hendak overgeneralize kepada PAS sahaja? KP JKOM menulis seolah hanya dalam PAS sahaja yang ada pentaksub, dalam PH itu tidak ada pentaksub Anwar ke?

KP JKOM tidak nampak ke kata-kata nista, gelaran, bahasa lucah mencarut oleh pentaksub Anwar terhadap pemimpin PAS?  KP JKOM lupa yang Anwar sendiri menggelar Presiden PAS sebagai ulamak yang berjubah, berserban tetapi menipu dan memfitnah dia hendak bekerjasama dengan Zahid.

KP JKOM sendiri kata dia sokong PAS dulu. Jadi, dia lupa ke apa yang Almarhum Tok Guru Nik Aziz sebut kepada mereka yang menuduh PAS peralat dan perguna agama?

Kalau KP JKOM dah tak ingat, saya boleh tolong repost dan share video lama kuliah Almarhum Tok Guru Nik Aziz berkenaan tajuk itu.

Bab janji syurga dan neraka itu juga modal politik yang Umno sering guna untuk serang PAS waktu Almarhum Tok Guru Nik Aziz hidup dulu. Sekarang, KP JKOM hendak ulang skrip modal lama pula pula ya?

Yang paling kelakar apabila KP JKOM ini hendak kaitkan PAS dengan rasuah. KP JKOM terlupa ke yang PMX pujaannya itu melantik Timbalan Perdana Menteri yang sedang membela diri bagi 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram?

Ada KP JKOM berani bersuara bab itu? Senyap sepi seribu bahasa kan. Apabila seorang Menteri Kabinet madani dan pegawainya disiasat bagi kes rasuah RM97 juta, ada KP JKOM berani bersuara menegur PMX yang kata Menteri tersebut tidak perlu direhatkan?

Jadi, yang PMX sibuk bersyarah bersembang sana sini bab tatakelola, integriti itu hanya disasarkan kepada pembangkang sahaja ya? 

Apabila PMX mahu buat Rumah Terbuka Madani di 6 buah negeri yang akan menghadapi PRN, ada KP JKOM berani bersuara bab itu? Jadi, yang PMX arah hentikan majlis besar-besaran untuk mengelak pembaziran perbelanjaan kerajaan itu sembang kosong sahaja ya?

Perguna dana negara untuk plaftorm politik kempen PRN itu dikira tatakelola gred A ke? Kalau ikut formula cerdik Menteri Besar Selangor, buat majlis di 6 negeri ini lebih jimat berbanding buat 1 sahaja maka, sewajarnya KP JKOM cadanglah kepada PMX agar buat di kesemua 14 negeri dan wilayah, ianya lebih jimat, lebih madani, dan lebih rahmah.

Melihatkan gaya KP JKOM yang lebih sibuk nak serang PAS berbanding menerangkan apa agenda Malaysia Madani maka nampaknya pengaruh PN-PAS yang telah terbukti berprestasi cemerlang pada PRU-15 lepas amatlah dia geruni dan takut gelombang hijau terus mara membadai pada PRN tidak lama lagi. 

KP JKOM kata PAS sekarang berbeza dengan dulu. Ya, memang berbeza sebab sekarang PAS sudah mendapat kepercayaan majoriti dengan menjadi parti terbesar yang mempunyai 43 kerusi di Parlimen. Dulu PAS hanya mentadbir 1 negeri sekarang PAS mentadbir 4 buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. 

Adapun berkenaan ‘cukop jumloh’ yang dia dan pentaksub PMX perli itu, janganlah lupa keputusan PRU15 menunjukkan PH menang 82 kerusi, tidak cukup pun jumlah majoriti mudah. 

Kerajaan madani hanya dibentuk gabungannya selepas PRU, jadi tidak perlulah mendabik dada seolah majoriti rakyat Malaysia memilih PH.

Takkan bekas Pensyarah Sains Politik pun buat-buat tidak tahu dengan istilah simple majority, coalition government dan unity government.

Kami juga tidak lupa yang Ketua Pembangkang dulu pada 23 September 2020 pernah isytihar Kerajaan PN tumbang sebab dia ada strong, formidable and convincing majority untuk bentuk kerajaan.

SYED AHMAD FADHLI – HARAKAHDAILY 26/4/2023

- Advertisement -
- Advertisement -