SEKALI lagi kecoh cerita mengenai YAB Menteri Besar Kedah. Tahap populariti Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor ternyata amat luar biasa dengan ‘style’ kepimpinan yang tersendiri dan terbukti memikat hati pelbagai lapisan masyarakat khususnya orang Melayu di Malaysia.
Selaku seorang pentadbir bagi negeri pembangkang dan seorang ‘fighter’ bagi parti pembangkang beliau terpaksa menempuh jalan perjuangan yang sukar terutama apabila Perdana Menteri ke-10 (PMX) selaku ‘orang baru’ dalam Putrajaya mencabul semangat federalisme yang ada.
Bermula dengan ugutan untuk memberikan saman, ugutan untuk membatalkan projek KXP, halangan untuk menghadiri program alumni di sekolah, pembatalan dewan MAEPS untuk program Menteri Besar berbuka puasa bersama anak perantau Kedah, halangan untuk hadir ke program-program anjuran Kerajaan Persekutuan termasuk LIMA di Langkawi dan terkini halangan untuk menghadiri Mesyuarat Kewangan Negara.
Namun Sultan Kedah nampaknya sentiasa memberikan dorongan yang positif kepada Menteri Besar Kedah atas jasa dan bakti beliau kepada Negeri Kedah.
Baru-baru ini Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14, 2023 telah menzahirkan rasa berpuas hati terhadap pentadbiran YAB Menteri Besar yang disifatkan baginda sebagai pencapaian yang membanggakan.
Titah baginda, “Atas segala pencapaian dan usaha disebutkan tadi, tahniah diucapkan kepada Menteri Besar dan seluruh jentera pentadbiran negeri”.
Antara pencapaian yang dititahkan oleh Sultan Kedah ialah,
1. Menarik masuk pelaburan tinggi ke Kedah dengan jumlah keseluruhan pada 2022 mencecah RM13.1 bilion yang turut menyediakan sebanyak 6,072 peluang pekerjaan.
2. Menyegerakan proses pemberi milikan tanah kepada rakyat yang memohon.
3. Pentadbiran Menteri Besar yang cukup komited melaksanakan Agenda Pelan Pembangunan Kedah 2035 (Kedah 2035).
https://www.agendadaily.com/isu-semasa/sultan-kedah-bangga-puas-hati-pentadbiran-muhammad-sanusi/
Terbaru, YAB Menteri Besar Kedah menceritakan bahawa Tuanku Sultan Kedah tidak memperkenan permintaan Kementerian Kewangan agar Menteri Besar Kedah digantikan dengan individu lain bagi menghadiri Mesyuarat Kewangan Negara yang secara lazimnya dihadiri oleh Menteri-menteri Besar.
“Saya menerima surat jemputan melalui Pejabat Menteri Besar pada 17 April jam 8:45 malam untuk hadir mewakili Kedah pada mesyuarat yang dijadualkan pada 18 April, bertempat di Kementerian Kewangan, Putrajaya”.
Mengapa begitu rendah akal budi serta tahap profesionalisme pejabat Menteri Kewangan negara kita pada hari ini? Mengapa seorang Menteri Besar diperlakukan sehina dan sebegini rupa?
Justeru, tepatlah tindakan yang dibuat oleh Sultan Kedah. Ini bukti bahawa kebijaksanaan Sultan Kedah telah menyelamatkan Negeri Kedah sekali gus menjamin kemaslahatan buat kerajaan dan rakyat Negeri Kedah.
Ikan dijaja letak di meja,
Ikan ditangkap memakainya belat;
Bukan raja sebarang raja,
Raja penyayang lagi berdaulat.
Cerita hikayat si Tanggang nakhoda,
Disumpah keras menjadi beting;
Raja dan rakyat berpisah tiada,
Ibarat aur dengannya tebing.
Sekian.
USTAZ SUKRI OMAR
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor
20 April 2023 – HARAKAHDAILY 20/4/2023