Vape mahal vs vape murah

- Advertisement -

PADA awal tahun 2000 syarikat besar yang menjual rokok telah mengalami penurunan jualan akibat dari beberapa faktor. Antaranya cukai jualan dan cukai import serta banyak sekatan dilakukan oleh pihak berkuasa di majoriti negara di dunia. Keadaan ini menyebabkan mereka terus terhimpit untuk menjual rokok. Begitu juga dengan kesedaran masyarakat yang mulai menyedari bahawa menghisap rokok itu mendatangkan mudarat yang besar kepada kesihatan.

Bermula daripada situ mereka mula mencari jalan bagaimana untuk membuat kaedah baharu untuk menjual hasil rokok mereka. Lalu timbulnya produk yang diberi nama produk tembakau yang dipanaskan (Electronic nicotine delivery systems (ENDS)). Teknologi pada masa tersebut membolehkan tembakau yang mengandungi Nikotin itu dipanaskan melalui kaedah elektronik. Kemudian pelabelan produk itu diubah-ubah sesuai dengan perkembangan teknologi pada masa tersebut sehinggalah sekarang ini diberi nama yang lebih glamour iaitu VAPE.

Pemain-pemain industri rokok yang besar di dunia dapat banyak keuntungan hasil menjual rokok yang dipanaskan itu. Kemudian sejak dari 2015 berlakunya satu ledakkan pembuatan vape secara besar-besaran oleh pelbagai syarikat. Ini menjadi satu saingan pula kepada syarikat-syarikat besar rokok tersebut.

Ada pihak-pihak yang berkepentingan melobi kerajaan untuk mengenakan cukai yang tinggi kepada vape murah dan membuat cadangan supaya peraturan lebih ketat. Sedangkan produk keluaran mereka pula terus dijual secara halal dan diakui oleh pihak berkuasa.

Rupanya di kalangan pemain industri rokok dan vape ini juga mempunyai politik dalaman mereka tersendiri dan tidak berpuas hati.

Sedangkan kami di KKM berusaha untuk menghapuskan kedua-duanya secara berstrategi. Dengan menjadikan negara bebas asap rokok menjelang 2040 adalah satu impian yang akan terlaksana jika semua pihak berganding bahu merealisasikannya.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 12/4/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -