OPR: Kenyataan Chee Keong ‘meragukan’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Alasan kenaikan Kadar Semalaman (OPR) yang dikatakan turut meningkatkan pulangan simpanan pendeposit Amanah Saham Bumiputera (ASB) sepertimana yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, benar-benar tidak praktikal untuk keadaan semasa di Malaysia.

Pakar ekonomi bebas, Dato Dr. Mohd Ramalan Yunus berkata demikian ketika mengulas tentang kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Sim Chee Keong berkenaan isu tersebut dalam sidang Parlimen Dewan Negara baru-baru ini.

- Advertisement -

Beliau turut mempersoalkan kenyataan tersebut sebagai ‘meragukan’ hujahnya, tidak ramai yang menyimpan wang masing-masing dengan mana-mana institusi pelaburan ketika berlakunya setiap krisis kewangan.

“Timbalan Menteri Kewangan seolah-olah berfikir sekarang ramai orang sedang menyimpan wang di ASB, tetapi hakikatnya berapa ramai sahaja yang ingin menyimpan wang dalam keadaan seperti hari ini walaupun dalam kalangan orang-orang kaya?” tegasnya kepada HarakahDaily.

Dr Mohd Ramalan

Beliau juga menyatakan bahawa keadaan ekonomi terkini merupakan antara krisis kewangan yang sememangnya tidak ramai rakyat yang akan mahu menambah lagi hutang seperti Pembiayaan ASB.

“Sama ada suka ataupun tidak, hakikatnya Bank Negara Malaysia (BNM) akan tetap menaikkan kadar OPR kerana tidak ada pilihan lain,” jelas beliau.

Menurutnya, kos hidup rakyat termasuklah hutang rumah dan Pembiayaan ASB akan tetap meningkat dan sekalipun BNM menurunkan kadarnya juga, ia tidak akan mengubah apa-apa kerana OPR  itu sendiri jelas riba dalam kewangan.

Beliau turut menambah bahawa mana-mana negara yang mengamalkan sistem sebegini juga akan menerima keburukan yang sama kerana ia hanya menguntungkan sebahagian masyarakat tetapi memiskinkan selebihnya.

Mengulas mengenai langkah yang boleh diambil dalam menghadapi isu berkenaan, beliau menasihatkan rakyat agar menambah segala pendapatan sedia ada seperti belajar berniaga secara kecil-kecilan dan juga secara talian.

“Saya juga mempunyai jawapan yang sama dengan Prof. Nazari Ismail iaitu elakkan berhutang walau apa pun, termasuklah pinjaman ditawarkan 0 peratus kadar faedah,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/4/2023

- Advertisement -