Keputusan mudah buat Lampard kembali ke Chelsea

- Advertisement -

Apabila Chelsea menghubunginya, Frank Lampard mengakui ia adalah keputusan mudah untuk menerima semula peranan pengurus sementara di kelab yang menyaksikannya mencipta rekod, memenangi pelbagai kejuaraan dan akhirnya dipecat.

Lampard yang berusia 44 tahun disahkan sebagai pengurus sementara kelab semalam berikutan pemecatan Graham Potter, sekal gus memberinya peluang yang tidak disangka-sangka untuk menuntut semula kerusi panas Stamford Bridge.

Menjaringkan 211 gol dalam semua pertandingan untuk kelab dan memenangi 13 kejuaraan sebagai pemain, dia dipecat sebagai pengurus pada Januari 2021 selepas mengendalikan 84 perlawanan dan digantikan oleh Thomas Tuchel.

- Advertisement -

Tetapi ibarat permainan kuda pusing (merry-go-round) menyaksikan Tuchel dipecat pada September dan kemudian penggantinya, Potter berpisah minggu lalu dengan kelab London yang kini berada di tempat ke-11 dalam kedudukan Liga Perdana.

Lampard ditugaskan untuk menstabilkan kapal, sementara pemilik kawalan bersama kelab, Todd Boehly dan Behdad Eghbali memilih pelantikan jangka panjang.

Sama ada Lampard sendiri menjadi pilihan bergantung kepada kesan yang dia ada terhadap skuad yang gagal mempamerkan prestasi sebenar selepas menelan belanja ratusan juta Pound apabila hanya memenangi 10 daripada 29 perlawanan liga.

Bagi Lampard, peluang untuk kembali ke Chelsea yang disifatkannya sebagai “kelab saya” adalah tawaran yang tidak boleh ditolak.

“Ia adalah keputusan yang cukup mudah untuk saya. Ini adalah kelab saya dari segi kerjaya bola sepak saya, selain pernah menguruskan dan melatih di sini sebelum ini.

“Saya gembira dan berterima kasih kepada orang yang memberi saya peluang itu. Saya yakin dengan diri saya sendiri, saya mempunyai pemahaman yang baik tentang skuad, tempat latihan, stadium dan penyokong. Saya akan melakukan yang terbaik untuk memberikan apa yang mereka mahu,” katanya.

Ditanya sama ada peranan itu boleh menjadi kekal, Lampard berkata dia tidak akan mendahului dirinya dan hanya memberi tumpuan untuk memberi impak kepada skuad dengan cara yang terbaik.

“Selepas itu kita akan lihat apa yang berlaku,” katanya.

Sejak pertukaran pemilikan Chelsea, kelab itu membelanjakan kira-kira 600 juta Pound (AS$746 juta) untuk pemain dalam dua jendela perpindahan dan Lampard mengakui mencari gabungan yang tepat adalah cabaran yang besar.

Stamford Bridge di London yang menjadi kebanggaan kelab Chelsea

“Bola sepak moden mempunyai skuad yang besar dan Chelsea berada di bahagian atas. Saya masih ingat berada di sini sebelum saya mempunyai banyak keputusan sukar untuk dibuat,” kata bekas pemain tengah itu.

“Kami tidak mahu berada di tangga ke-11 tetapi itu lah realitinya. Terdapat banyak bakat dalam skuad ini dan saya mempunyai idea yang jelas tentang apa yang ingin saya capai dalam tempoh ini.

“Perkara yang baik untuk saya ialah semua orang boleh mempunyai rekod yang bersih sekarang dan menunjukkan dalam latihan apa yang boleh mereka lakukan.”

Lampard memulakan tugas keduanya sebagai pengurus menentang Wolverhampton Wanderers pada Sabtu ini, apabila antara tugasnya ialah menyelesaikan masalah menjaringkan gol Chelsea.

Mereka hanya berjaya menjaringkan 29 gol dalam 29 perlawanan.

“Tiada jawapan bijaksana bagi jurulatih untuk menerangkan mengenai menjaringkan gol. Nasib baik, isu ini adalah sebahagian besar permainan saya dan saya tidak membandingkan, tetapi ia mengenai memahami minda untuk menjadi agresif dan berhati dingin untuk mahu menjaringkan gol,” katanya.

Walaupun harapan Chelsea untuk mencabar kedudukan empat teratas masih jauh, mereka masih berada dalam saingan Liga Juara-Juara dan berdepan perlawanan suku akhir pertama menentang penyandang Real Madrid, minggu depan.

Lampard adalah sebahagian daripada pasukan yang memenangi Liga Juara-Juara pada 2012 di bawah jurulatih sementara, Roberto Di Matteo.

“Real Madrid adalah kelab yang besar dan pasukan yang hebat, jadi saya tidak akan mula bercakap mengenai separuh akhir atau final. Sudah tentu saya gembira dapat bertarung dalam pertandingan itu lagi,” katanya. – REUTERS

- Advertisement -