Pencerobohan tentera Israel: Kenyataan PM sangat lemah

Nushi Mahfodz
- Advertisement -

MERUJUK kepada kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 6 April 2023 yang dikeluarkan melalui twitter hanya menggelar pencerobohan dan serangan tentera penjajah Israel serta pendatang haram Yahudi ke atas rakyat Palestin dan para jemaah yang beribadah di Masjid Al-Aqsa pada malam 5 April 2023 sebagai heinous crimes dilihat sebagai sangat lemah kerana Israel tidak pernah menghormati hak kesejahteraan rakyat Palestin yang dirampas sejak tahun 1948.

- Advertisement -

Selaku PM, kerajaan madani perlu lebih tegas bersuara mengenai penindasan terhadap rakyat Palestin yang tidak berkesudahan termasuk meluaskan peranan tentera Malaysia sebagai pasukan pengaman dan PAS Selangor sedia bersama pihak kerajaan Malaysia menghantar bantuan perubatan ke rantau yang bergolak itu.

Seruan PM terhadap campur tangan Majlis Keselamatan PBB juga perlu diterjemahkan dalam bentuk usul khas merujuk tentera pertahanan Israel sebagai kumpulan pengganas dan mengheret penjenayah antarabangsa into kemuka pengadilan walaupun diketahui tidak mendapat sokongan dari kuasa veto Amerika Syarikat. Sekurang-kurangnya, Israel terus ditekan masyarakat dunia.

Wisma Putra pula hanya mengeluarkan kenyataan mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan itu ke atas rakyat Palestin tetapi menekankan pengiktirafan negara Palestin yang bebas berdasarkan perjanjian sempadan sebelum 1967.

Justeru, PAS Selangor juga mendesak PM mengulangi pendirian dan kenyataan beliau yang dikeluarkan oleh Wall Street Journal pada 26 Januari 2012 bahawa beliau menyokong usaha melindungi keselamatan negara Israel, atas kapasiti beliau sebagai Ketua Pembangkang pada waktu itu.

Bertentangan dengan Presiden Turki Erdorgan sendiri yang telah memberi amaran akan menggerakkan tentera dan rakyat Turki bagi mempertahankan Masjid Al-Aqsa baru-baru ini.

PAS Selangor lebih awal mengeluarkan kenyataan mengecam sekeras-kerasnya tindakan pencerobohan tentera Israel ke atas Masjid Al-Aqsa pada 5 April 2023 yang juga disiarkan dalam akhbar tempatan.

Sekiranya PM Anwar Ibrahim berani memberi amaran kepada orang Melayu untuk tidak angkuh dan sombong, sekembali dari lawatan rasmi ke Kemboja, mengapa tiada amaran yang sama ditujukan kepada pihak zionis Israel? Sedangkan Allah swt telah menggunakan perkataan angkuh dan sombong kepada Firaun dan tenteranya (Surah Al-Qasas; 29).

PAS Selangor komited mempertahankan kemuliaan agama Islam dan terus berjuang mewujudkan negeri Selangor yang lebih bersih, sejahtera dan toleran.

NUSHI MAHFODZ
Ketua Penerangan
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
Jumaat, 7 April 2023/ 16 Ramadan 1444 – HARAKAHDAILY 7/4/2023

- Advertisement -