Malaysia aman damai hasil toleransi masyarakat Melayu

Haziq Asyraf Dun
- Advertisement -

KANGAR: Pemuda PAS Perlis meluahkan perasaan kecewa terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilapor menyebut ‘Umat Islam Melayu jangan terlalu angkuh.’

- Advertisement -

Ketuanya Haziq Asyraf Dun berkata, apa isu sehingga menyebabkan perdana menteri menyebut umat Islam berbangsa Melayu angkuh.

“Sepatutnya kenyataan seumpama itu tidak dikeluarkan seorang pemimpin negara bagi menjaga keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini,” katanya pada kenyataan di sini.

Pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya Selasa lepas Anwar dilapor memberi peringatan supaya kaum majoriti negara ini tidak terlalu selesa dan angkuh sehingga meminggirkan kelompok lain.

Haziq juga berkata, rakyat di Malaysia hidup dalam keadaan aman dan harmoni kerana toleransi tinggi masyarakat Melayu terhadap kaum-kaum lain.

Katanya, orang Melayu yang berpegang dengan ajaran Islam sentiasa dididik menghormati penganut agama lain.

“Bagaimanapun kaum lain hendaklah memahami hak-hak Bumiputera termasuk orang Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia,” ujarnya.

Menurutnya juga Pemuda PAS Perlis sentiasa menjunjung konsep negara berbilang kaum kerana ia termaktub dalam perlembagaan. – HARAKAHDAILY 6/4/2023

- Advertisement -