Kelam masa depan Umno bawah Zahid

- Advertisement -

KEKECEWAAN jelas terbayang di wajah penyokong dan ahli keluarga Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. yang dihadapinya.

Ini bermakna untuk kes ini Najib terpaksa menjalani hukuman 12 tahun penjara serta dikenakan denda berjumlah RM210 juta.

Sebak juga bila membaca laporan bahawa beliau menjangkakan keputusan menyebelahinya dan akan dapat bersolat dan berbuka puasa dengan kaum keluarga apabila dibebaskan. Ternyata impiannya tidak tercapai. Pilihan terakhir bekas Perdana Menteri ini untuk dibebaskan ialah mendapatkan pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Sebaik keputusan tersebut keluar, akhbar Sinar Harian menaikkan berita bertajuk ‘Permohonan Najib ditolak: Itu keputusan mahkamah: Zahid’. Presiden Umno dilaporkan enggan ulas lanjut, sekadar menyatakan keputusan mahkamah perlu dihormati.

Reaksi sebegini sudah pasti mengecewakan ramai khasnya dikalangan penyokong dan ahli-ahli Umno. Bukan rahsia lagi bahawa jasa Najib terhadap Umno sehingga memungkinkan ia naik kembali setelah tewas dalam PRU ke-14 lalu, cukup besar.

Walaupun beliau dikatakan punca mengakibatkan Umno kalah dan akibatnya melepaskan jawatan Presiden pada Zahid ketika itu, namun siri-siri Pilihan Raya Kecil menyaksikan Najib aktif turun membantu, walaupun tidak lagi Presiden, termasuklah sehingga Umno dapat naik kembali dalam PRN Melaka dan Johor.

Jolokan ‘Malu apa Boss ku’ bergema dalam tiap PRK termasuk PRN Melaka dan Johor apabila beliau turun.

Malah ada penganalisa politik menyatakan bahawa kemampuan Umno menang kembali pada awalnya siri-siri PRK selain bantuan jentera PAS yang ketika itu bersama melalui Muafakat Nasional adalah pengaruh ‘Bossku’. Besar jasa Najib malah ini diakui beberapa kali oleh Zahid sendiri sebelumnya.

Bagi mereka yang percaya pendakwaan terhadap Najib berpunca dari pendakwaan terpilih dan atas sebab-sebab politik semasa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri PH, sudah pasti mengharapkan Umno yang kini dalam kerajaan dan Presidennya pula Timbalan Perdana Menteri dapat melakukan sesuatu bagi memberikan keadilan buat Najib.

Malah semasa Taklimat Khas Presiden sempena Himpunan  Solidariti Terhadap Najib di WTC bulan Ogos 2022 lalu, pelbagai desakan dilontarkan agar Umno lakukan sesuatu bagi membebaskan Najib yang dikira dianiaya.

Ada yang mahu Ketua Hakim Negara ditukar ada yang mahu Peguam Negara ditukar, namun apabila Umno kini masuk bersama Pakatan harapan membentuk Kerajaan Persekutuan. Presiden Umno yang menjadi Timbalan Perdana Menteri dan beberapa yang lain yang kini menjadi Menteri setakat boleh berkata: ‘Itu keputusan Mahkamah’.

Ramai melihat Najib kini bukan sekadar menjadi mangsa Tun Dr Mahathir malah sudah menjadi mangsa kawan-kawannya sendiri dalam Umno. Harapan besar yang diletakkan pada Presiden dan Timbalan Presiden Umno untuk berusaha memberikan keadilan pada Najib, kini sepi lantaran masing-masing telah selesa dengan pangkat dan kedudukan.

Hari ini Timbalan Perdana Menteri dan barisan Menteri Umno silih berganti menghadiri majlis berbuka puasa dan merancang untuk program rumah terbuka hari raya, sedang tokoh yang sesungguhnya memberi nafas kepada Umno untuk bangkit kembali bernyawa, hari ini berbuka puasa di Penjara Kajang dan di situlah juga beliau akan berhari raya dengan kakitangan penjara dan banduan yang lain.

Keadaan ini membangkitkan ketidakpuasan hati ramai di kalangan mereka yang menyayangi dan mengenang jasa Najib.

Sesungguhnya Najib ‘instrumental‘ dalam memperjuangkan politik Penyatuan Ummah awal-awal lagi sejak beliau Perdana Menteri.

Beliaulah yang mengizinkan RUU355 dibentangkan sebagai ‘Private Members Bill’ oleh Ahli Parlimen Marang ketika BN kerajaan dan PAS pembangkang. Beliau juga berperanan dalam menganjurkan program bersama PAS membela Nasib ‘Pelarian Rohingya’ dan rakyat Palestin.

Kalau ahli dan pendukung PAS pun boleh mengenang jasa Najib inikan pula mereka yang dalam Umno terutama yang pernah diberikan kedudukan dan tempat oleh Najib satu ketika dahulu.

Ada yang mengatakan Najib sudah tidak lagi menjadi keutamaan atau agenda kepimpinan Umno hari ini. Ini kerana Umno yang hanya diwakili 26 kerusi Parlimen tidak mahu mencetuskan ketegangan dan konflik dengan rakan-rakan mereka dalam kerajaan yang lebih dominan. 

PH terutama DAP memang dari dulu mahu melihat Najib merengkok di penjara dan kini mereka sudah pasti berpuas-hati.

Lalu kerana itulah apabila Zahid berkata, ‘itu keputusan mahkamah’, Zahid di sini ternyata tidak dapat berbuat apa-apa kerana nyawa Umno berada di tangan PH dan DAP. Masakan kedudukan sebagai Timbalan Perdana Menteri mahu digadaikan kerana memperjuangkan seorang ‘banduan’ seperti Najib.

Dalam pada Zahid sendiri dilihat seakan melukut di tepi gantang. Beliau juga sedang menghadapi puluhan tuduhan pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram. Sudah pasti beliau tidak mahu melihat dirinya berakhir di penjara sebagaimana Najib. Lantas Zahid dijangka membawa Umno tunduk pada kehendak dan kemahuan PH termasuklah DAP.

Umno akan dipergunakan sepenuhnya oleh PH khasnya DAP untuk kepentingan politik mereka dan Presiden Umno dijangka tidak akan mendatangkan sebarang masalah. 

Perjuangan untuk menobatkan dan memartabatkan agama dan bangsa, memperjuangkan nasib umat Melayu kebanyakan adalah tertakluk pada keizinan PKR dan DAP.

Umno akan menjadi kecil dan dilemahkan oleh tekanan PH, sia-sialah mereka yang bersungguh mahu berjuang.

Kerana itu kita lihat Zahid segera membenamkan kukunya sedalam mungkin dalam tubuh Umno. Kedudukannya sebagai Presiden mesti dipasak sekukuh-kukuhnya.  Beliau tidak akan memberi ruang pada sesiapa pun untuk menentangnya kerana ini nanti bakal menggugat kedudukannya yang kini selamat itu.

Kalau perlu ditukar Ketua Menteri Melaka, maka beliau tukarkan juga walau rakyat Melaka tidak menuntutnya kerana yang penting beliau selamat dan kekal Presiden dan Timbalan Perdana Menteri.

Jika beginilah berterusan keadaan Umno, mereka akan semakin sukar dan akan berhadapan dengan penolakan dari umat Melayu Islam yang merupakan penyokong teras mereka. 

PRU Parlimen ke-15 pun pengundi Melayu telah tinggalkan mereka. Tidak mustahil PRU ke-15 untuk enam negeri nanti, Umno akan semakin parah,hanyut dan tidak mustahil pupus semata-mata kerana mendukung Zahid.

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha Perhubungan
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 6/4/2023

- Advertisement -
- Advertisement -