30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (15)

- Advertisement -

HIKMAH 15:

- Advertisement -

لا صغيرة إذا قابلك عدله. ولا كبيرة إذا واجهك فضله

“Tiada dosa kecil jika kamu berhadapan dengan keadilanNya. Tiada dosa besar jika kamu berhadapan dengan kelebihanNya.”

Maksud:

1. Jika Allah benar-benar mengira kesalahan yang manusia lakukan secara adil, maka tiadalah istilah dosa kecil dosa besar. Kerana hak Allah adalah untuk tidak diingkari walau dengan apa jua kesalahan. 

2. Atas rahmat Allah, Dia membezakan  antara dosa kecil dan besar mengikut maslahah makhluk, bukan maslahah Ilahi. Kesalahan yang memberi kesan kepada makhluk banyak dikategorikan kepada dosa besar. 

3. Dengan rahmat Allah juga, tiada dosa yang tidak boleh diampunkan walau sebesar mana pun. Sebesar mana pun dosa tersebut, pastikan akan diampunkan jika menepati syarat taubat.

Ibrah Ramadan:

Ramadan adalah bulan keampunan. Ditutup pintu neraka serapat-rapatnya sebagai simbolik tiada hukuman pada bulan mulia ini. Siang dan malamnya dipenuhi dengan keampunan, andai kita menunaikan segala tuntutannya.

Sabda Rasulullah S.A.W:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا ؛ غُفِرَ لَهُ ما تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa berpuasa Ramadan dalam penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan baginya dosa-dosa terdahulu.”

Juga sabda Rasulullah S.A.W:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا ؛ غُفِرَ لَهُ ما تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa mendirikan malam  Ramadan dalam penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan baginya dosa-dosa terdahulu.”

[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

ALANG IBN SHUKRIMUN
15 Ramadhan 1444
6 April 2023 – HARAKAHDAILY 6/4/2023

- Advertisement -