Perbicaraan petisyen keputusan PRU15 P.036 K.Terengganu

- Advertisement -

PERBICARAAN petisyen P.036 Parlimen Kuala Terengganu 4 April 2023, hari kedua.

12:14: Shahrul Azwan saksi bagi pempetisyen, seorang pengundi berdaftar di Parlimen Kuala Terengganu, mengundi di Sekolah Gong Tok Nasek, pergi jam 11 pagi seorang diri menaiki motor. Beliau singgah di kanopi PAS untuk memeriksa salurannya (ketika ini beliau membaca jawapan) lalu ditegur oleh hakim supaya menjawab mengikut ingatan beliau.

Beliau memberitahu mahkamah yang petugas PAS memberitahu yang pengundi luar akan mendapat wang pengundi luar. Beliau memaklumkan yang petugas wanita itu memberitahunya, jika beliau mahukan wang perantau, undilah PAS. Beliau tidak mengenali calon PAS. Beliau kemudian disuruh ke kabin belakang bagi menerima bayaran selepas mengundi.

Peguam pempetisyen bertanyakan saksi adakah faham dan mengetahui apa yang ada dalam keterangan yang dibaca oleh saksi. Saksi diam setelah beberapa kali ditanya. Saksi juga belum membaca keterangan itu, katanya. Celahan dibuat oleh peguam responden yang keterangan itu ditulis oleh peguam, bukan saksi yang buat.

Selepas habis mengundi, beliau ke kabin dan beliau diminta mengisi borang di mana alamat dia tinggal luar Terengganu dan dalam Terengganu. Beliau ditanya petugas, undi apa dan setelah menjawab PAS, beliau kemudiannya diberikan wang oleh petugas sebanyak RM100. Dari kefahaman beliau wang itu adalah kerana beliau mengundi PAS.

Gambaran kanopi dan kabin disahkan oleh saksi dan ditandakan oleh mahkamah setelah dimohon oleh peguam pempetisyen. Saksi ditanya apakah yang telah dikatakan oleh petugas PAS di kabin kepada beliau, beliau memaklumkan dia ditanya undi apa sebelum diberikan wang oleh petugas yang beliau katakan memakai jaket berlogokan PAS.

Antara petugas PAS yang beliau kenali ialah seorang bernama Ustaz Yen. Saksi mendakwa mengenali Ustaz Yen kerana dia adalah seorang yang aktif dalam PAS dan saksi juga menanggap beliau sebagai Ketua Kampung. Turut dikenali saksi ialah isteri Ustaz Yen yang bernama Zainun berada di sekitar kawasan pengundian.

Saksi mengaku yang beliau tiada hubungan dengan PAS dan bukan ahli PAS. Ustaz Yen dikatakan sebagai rujukan kepada PAS di kampungnya. Peguam bertanya lagi soalan sama, apakah yang terlintas atau faham tujuan saksi diberikan wang RM100 itu dan saksi menjawab tujuannya ialah untuk mengundi PAS. Peguam bertanya lagi apa yang membuatkan saksi terpengaruh untuk mengundi PAS, saksi menjawab kerana diberi wang. Duit itu diberikan semasa dalam kabin kata saksi. Selesai soalan peguam pempetisyen.

Peguam responden mengambil tempat

Saksi berkelulusan SPM dan bekerja di sebuah kilang di Johor. Saksi ditanya adakah nampak mana-mana khemah parti-parti lain sebelum masuk ke pusat mengundi, saksi mengesahkan beliau tidak nampak dan tidak perasan. Perayu undi parti lain juga tidak kelihatan kata saksi, semua parti kata beliau. Beliau masuk terus ke khemah PAS, kerana mahu periksa saluran mengundi. Bila ditanya apakah yang sebenarnya dikata oleh petugas PAS itu saksi pula menjawab tidak ingat saluran mana, kedengarannya lari dari soalan peguam.

Saksi juga mendakwa orang yang sama yang bertanya dan menyemak saluran undi beliau. Dan selepas itu saksi dimaklumkan oleh petugas kalau pengundi luar, boleh bawa kertas ke kabin. Yang tertulis atas kertas itu ialah nama, IC dan saksi lupa butiran yang lain. Saksi mengatakan petugas PAS mahu memberikan wang kepada beliau. Peguam mengingatkan saksi yang beliau sudah banyak mengubah jawapan dan menyuruh saksi mengatakan yang benar kerana jawapan itu direkod.

Saksi ditanya apakah yang beliau faham berkenaan bayaran duit pengundi luar. Saksi menjawab ia sebagai memancing undi. Saksi dicadangkan oleh peguam responden bahawa duit itu ialah sebagai wang tambang balik mengundi. Saksi bersetuju. Ia bertujuan menampung perbelanjaan saksi, saksi bersetuju. Peguam mencadangkan yang saksi tahu duit tambang dan saksi tidak diwajibkan untuk mengundi PAS. Saksi agak keliru dengan soalan. 

Saksi ditanya adakah jumlah wang disebut untuk diberikan, saksi menjawab tiada. Dan tiada jaminan yang petugas akan memberikan wang itu kepada saksi atau tidak, saksi bersetuju. Dan kerana tiada sebarang nilai disebut kepada jumlah wang sebelum mengundi, maka saksi tidak menganggap ia sebagai satu tawaran menarik dan saksi bersetuju. Oleh itu apa yang disebut oleh petugas wanita itu tidak mempengaruhi saksi untuk mengundi siapa. Saksi bersetuju. Peguam responden selesai soalan.

Peguam pempetisyen:

Peguam mahu membetulkan jawapan saksi. Saksi tidak terliur untuk mengundi PAS kerana tiada jumlah yang diberikan, apakah yang beliau maksudkan. Saksi tidak faham soalan dan ketika ini peguam pempetisyen juga berkata beliau sendiri tidak faham soalan beliau (ini kerana saksi bercakap dengan dialek Terengganu yang agak pekat, banyak kali peguam tidak memahami saksi). Soalan dibetulkan dan saksi mengambil masa agak lama untuk menjawab dan memberitahu dia tidak terliur kerana tiada nilai yang diberitahu. 

Peguam akur dengan jawapan saksi dan beralih kepada soalan lain, mengapa saksi mengundi PAS dan saksi berkata dia mengundi PAS kerana mahu diberikan wang. Jadi peguam merumuskan yang saksi tidak mengira apa nilai, tetapi kerana dijanjikan wang. Saksi bersetuju.

Peguam bertanya lagi soalan yang hampir sama, apakah yang mempengaruhi saksi mengundi PAS, beliau menjawab kerana diberi wang. Saksi kemudian minta dilepaskan oleh peguam. Esok pagi, peguam akan membawa saksi ‘recall’ yang berkaitan dengan majlis Deepavali.

Sebelum itu, sudah ada empat orang saksi yang memberikan keterangan. Mereka ialah empat beranak, sekeluarga iaitu Hasnah binti Awang (nenek), Rosniwati Md Yusof (ibu), Aqib Haikal bin Rosman (anak) dan Amira Balqis binti Rosman (anak). Mereka menjadi saksi bagi pihak pempetisyen. 

Nenek mereka dalam keterangannya mengaku sebagai pengundi BN sebelum PRU lalu. Dalam kes ini, peguam pempestisyen tidak membantah berkenaan pengakuan mengundi parti mana, tidak seperti kes di Marang, peguam pempetisyen yang sama, sering membantah bila ada cadangan mahu saksi memaklumkan undi, dengan menyebut undi adalah rahsia dan tertakluk di bawah undang-undang pilihan raya.

Prosiding akan bersambung semula esok jam 9:45 pagi.

MOHD NASIR ABDULLAH
4 April 2023 – HARAKAHDAILY 4/4/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -