BRICS bakal menamatkan hegemoni Amerika Syarikat, Barat

- Advertisement -

SELEPAS bermulanya Operasi Ketenteraan Khas Rusia di Ukraine pada 24 Februari 2022, orde baharu dunia yang diterajui oleh Amerika Syarikat dan Barat mula menunjukkan perubahan ketara dengan hala tuju yang tidak menentu dan berkecamuk dalam pelbagai sudut.

- Advertisement -

Penguasaan Amerika Syarikat ke atas dunia selama ini berasaskan kepada empat teras utama iaitu matawang dollar Amerika Syarikat, ketenteraan, perusahaan dan penguasaan teknologi baharu.

Dolar Amerika Syarikat

Dolar Amerika Syarikat adalah instrumen utama perdagangan dunia dan digunakan oleh hampir seluruh negara di dunia. Kelebihan dolar Amerika Syarikat ini sering kali digunakan ke atas pesaing atau negara yang menjadi ancaman kepada penguasaan dan hegemoni Amerika Syarikat terutamanya dalam bentuk sekatan ekonomi.

Sebagai pemegang taruh kepada matawang dolar, Amerika Syarikat menggunakan kelebihan tersebut untuk membekukan segala transaksi dan pengunaannya yang mampu menyebabkan kitaran ekonomi sesebuah negara atau organisasi lumpuh.

Contohnya seperti negara Cuba, Korea Utara, Myanmar, Iran dan beberapa buah negara lagi termasuk Rusia. Kelebihan ini juga membuatkan banyak organisasi dan negara amat berhati-hati agar tidak menjadi korban mahupun mangsa dengan “bertegang leher“ dengan Amerika Syarikat seterusnya menjadi “pak turut”.

Penguasaan ketenteraan

Selepas Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat dan Barat menubuhkan The North Atlantic Treaty Organisation (NATO), sebuah organisasi ketenteraan terbesar di dunia dengan tujuan utamanya adalah untuk menghalang serta menangkis ancaman Soviet Union di Eropah.

Amerika Syarikat dan Barat juga turut meluaskan penguasaan ketenteraannya tanpa NATO di Afrika dan Asia termasuk di negara kepulauan Pasifik. Bukti jelas penguasaan ketenteraan Amerika Syarikat ke atas dunia adalah dengan menempatkan tidak kurang dari 700 buah pengkalan tentera di 80 buah negara di dunia yang berkedudukan amat strategik.

Ini tidak termasuk pengkalan tentera milik Britain, Perancis, Jerman dan beberapa lagi negara anggota NATO di serata dunia. Selain dari itu dunia turut “diiklankan“ dengan kelebihan senjata “canggih“ buatan Amerika Syarikat dan Barat yang mampu mengalah serta menghapuskan musuhnya dengan mudah yang secara tidak langsung menggambar kekuatan ketenteraan Amerika Syarikat dan Barat.

Penguasaan industri

Pada penghujung abad ke-19, telah berlaku Revolusi Perusahaan 2.0 yang menjadi pemangkin kepada perubahan landskap industri dan perusahaan dunia sebagaimana kita lihat hari ini. Ketika itu telah berlaku revolusi dalam penemuan dan perbaharuan saintifik, inovasi, standard teknikal, industri berskala besar, transformasi sumber guna tenaga dan pembangunan serta penyeragaman sektor swasta dan kerajaan.

Amerika Syarikat, Britain dan negara-negara Barat adalah peneraju kepada revolusi perusahaan dalam pelbagai sektor sejak bermulanya Revolusi Perusahaan 1.0 sehinggalah dominasinya dicabar oleh negara utama Asia seperti Korea Selatan dan Jepun terutamanya China bermula 2010. Adapun Jepun telah mula bangkit sebagai salah satu kuasa besar dalam sektor industri dan perusahaan pada awal 1980an, tetapi ianya kembali mengucup akibat tiga kegawatan ekonomi iaitu pada tahun 1997, 2009 dan 2015.

Akibat daripada penguasaan dalam pelbagai sektor dan industri sejak dari bermulanya Revolusi Perusahaan pada tahun 1760, Amerika Syarikat dan Barat secara berterusan menjadi pemain utama sektor perusahaan dan industri sekali gus menjadi kuasa utama ekonomi dunia.

Penguasaan teknologi baharu

Amerika Syarikat dan Barat adalah pengasas dan peneraju utama teknologi baharu setelah bermulanya Revolusi Digital atau “third digital revolution“ apabila terciptanya internet dan komputer penghujung 1960-an. Ia seterusnya berkembang menjadi satu industri yang cukup besar sebagaimana yang dilihat hari ini seperti semikonduktor, AI atau kecerdasan buatan, teknologi aeroangkasa dan pelbagai lagi aplikasi, teknologi serta peralatan.

Begitu juga komponen penting yang menggerakkan teknologi baharu seperti pembuatan chip dan wafer, pembangunan komponen teknologi baharu dari nadir bumi seperti bateri untuk kenderaan elektrik, LED, telefon pintar dan pelbagai lagi yang semuanya dikuasai oleh Amerika Syarikat dan Barat. Namun bermula 2010, penguasaan tersebut secara beransur telah mula dicabar hebat oleh negara-negara utama Asia seperti China, Korea Selatan dan Jepun.

Penubuhan BRICS

BRIC asalnya ditubuhkan pada tahun 2001 dengan penyertaan empat buah negara iaitu Brazil, Rusia, India dan China dan pada 2010, Afrika Selatan pula menyertai gabungan tersebut lalu terbentuklah BRICS. Pada awal penubuhannya, Amerika Syarikat dan Barat tidak memberikan perhatian serius kerana percaya ia tidak mampu pergi jauh dan berkembang sebagai sebuah organisasi yang kuat.

BRICS juga diragui menjadi ancaman kepada Amerika Syarikat dan Barat malah terdapat keraguan tentang persefahaman dan kerjasama antara negara anggota BRICS terutamanya antara China dan India yang sering kali dilanda konfrantasi terutamanya pertikaian sempadan dan ekonomi. Namun ketika itu terdapat sebilangan kecil pakar geopolitik yang percaya dengan potensi besar yang mampu dicapai BRICS jika China dan India mampu menyelesaikan pertikaian antara mereka.

Kelebihan dan potensi besar BRICS ialah populasi negara anggota BRICS yang berjumlah 3.21 bilion orang yang merangkumi lebih daripada 41.5 peratus penduduk dunia. Keluasan negara anggota BRICS dianggarkan berjumlah 27 peratus daripada keluasan muka bumi. KDNK negara anggota BRICS berjumlah USD26.6 trilion iaitu 26.2 peratus daripada Keluaran Kasar Dunia dan dianggarkan mempunyai rizab asing berjumlah USD4.46 trilion pada 2018.

Negara anggota BRICS adalah antara pengeluar komoditi utama dunia seperti minyak mentah dan gas, bijirin, arang batu, bijih besi, tembaga, aluminium, nikel dan emas termasuk juga komoditi berharga seperti platinum dan palladium. Jika mengambil kira China yang digelar sebagai “world factory“, BRICS sememangnya mempunyai potensi besar untuk menjadi pemain utama geopolitik dan ekonomi dunia.

Namun selepas beberapa tahun penubuhan BRICS, ia dilihat seperti kaku dan tidak berfungsi malahan ketika itu telah mula kedengaran suara-suara yang mengatakan BRICS tidak mampu bertahan lama terutamanya ketegangan yang semakin memuncak antara China dan India dalam pelbagai isu.

BRICS menjadi ancaman kelangsungan hegemoni barat

Semuanya telah berubah sejak Rusia memulakan Operasi Ketenteraan Khas di Ukraine. BRICS kini telah menjadi ancaman utama kepada Amerika Syarikat dan Barat untuk kelangsungan hegemoninya ke atas dunia. Lebih mengerunkan mereka ialah permohonan baharu negara di dunia untuk menyertai BRICS yang dijangka mampu menggugat organisasi seperti G7, WEF dan NATO.

Iran, Arab Saudi, Mexico, Algeria, Argentina, Indonesia dan berkemungkinan Turkiye adalah antara negara yang telah memohon untuk menyertai BRICS dan dijangka akan diterima permohonannya. Di samping itu juga terdapat beberapa buah negara lagi turut dijangka akan memohon untuk menyertai BRICS sebelum bermulanya Sidang Kemuncak BRICS yang dijadualkan akan berlangsung di Durban, Afrika Selatan pada Ogos tahun ini. Dijangka kemasukan negara anggota baharu ini akan menjenamakan semula BRICS kepada BRICS+.

Bayangkan penyertaan pelbagai negara seperti yang dinyatakan tadi, tentunya ia akan memberi impak positif kepada BRICS, impak yang bakal merubah geopolitik dan ekonomi dunia. Bayangkan kekuatan KDNK dan Keluaran Kasar Dunia keseluruhan negara anggota BRICS, jumlah populasi dan keluasan negara anggota BRICS serta lain-lain kelebihan berbanding Amerika Syarikat dan Barat.

Matawang utama BRICS

De – dollarisation atau mengurangkan penggunaan dolar Amerika Syarikat dalam setiap transaksi perdagangan dilihat sebagai agenda utama BRICS dan dijangka matawang Yuan China akan diangkat sebagai matawang utama BRICS. Namun begitu ada juga yang menjangkakan penggunaan “basket currency“ atau matawang pelbagai negara anggota BRICS dalam urusan perdagangan dengan negara lain dalam usaha untuk mengurangkan penggunaan dollar Amerika Syarikat.

Ketika ini usaha ke arah itu dilihat telah bermula apabila Brazil dan China pada Rabu lalu menandatangani perjanjian perdagangan dan bersetuju untuk menggunakan matawang sendiri dalam urusan perdagangan. Minggu lalu Kenya telah menandatangani perjanjian untuk mengimport minyak mentah dari Arab Saudi dan membayarnya menggunakan matawangnya sendiri dan dijangka akan terdapat banyak lagi pengumuman sebegini bermula sekarang.

Jika ia berterusan begini dan lebih meluas dipraktikkan di seluruh dunia terutamanya dalam kalangan negara-negara Selatan, ia mampu memberikan kesan negatif yang besar terhadap nilai dolar Amerika Syarikat seterusnya menjejaskan ekosistem ekonomi Amerika Syarikat dan Barat. Dalam erti kata lain, ia adalah petanda bermulanya keruntuhan ekosistem ekonomi Amerika Syarikat dan Barat terutamanya nilai dolar Amerika Syarikat.

Ketenteraan

Selepas Perang Dunia Kedua, NATO telah menjadi organisasi ketenteraan yang digeruni. Namun keadaan mula berubah semenjak 15 tahun lalu apabila China mula meningkatkan keupayaan dan memodenkan tenteranya dari pelbagai sudut selain Rusia yang turut melakukan tindakan yang sama.

Ketika ini China memiliki armada kapal perang terbesar di dunia, selain memiliki jet pejuang generasi kelima J-20 dan J-31 yang dalam ujian siri ujian terakhir. China turut memiliki senjata nuklear dan mempunyai peluru berpandu balistik hipersonik antara benua. Boleh dikatakan ketika ini China semakin hampir mencapai taraf yang sama dari segi ketenteraan dengan Amerika Syarikat.

Rusia adalah kuasa terbesar nuklear di dunia dan juga memiliki armada kapal selam terbesar di dunia. Keupayaan ketenteraan Rusia tidak perlu dipertikaikan dengan pelbagai jet pejuang canggih, senjata moden dan berbahaya apatah lagi setelah berlakunya Operasi Ketenteraan Khas di Ukraine. Cukup dengan Rusia dan China, kekuatan ketenteraan dua negara ini sahaja sudah mampu meretakkan ego Amerika Syarikat dan Barat.

Perusahaan

China adalah kuasa ekonomi dan industri terbesar dalam kalangan negara anggota BRICS. Industri dan perusahaan di China memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi dunia. Penutupan ekonomi China selama dua tahun akibat penularan wabak pandemik Covid 19 telah memberikan kesan yang amat besar kepada sistem rantaian bekalan ekonomi dunia sehingga menjejaskan pertumbuhan ekonomi banyak negara.

Begitulah besarnya impak ekosistem ekonomi China kepada dunia, di mana ketika ini Amerika Syarikat dan Barat sedang sedaya upaya cuba menyekat kemaraan ekonomi China tetapi tidak berhasil. Di samping itu juga, penyertaan negara anggota baharu ke dalam BRICS terutamanya Arab Saudi dan Iran akan memberikan impak positif yang amat besar dari sudut kekuatan ekonomi BRICS.

Gabungan Arab Saudi, Rusia dan Iran secara sendirinya telah mewujudkan “kartel baharu“ dalam pengeluaran minyak mentah dunia dari BRICS malah jika mengambilkira Algeria dan Indonesia yang bakal menyertai BRICS, kekuatan BRICS dari sudut ekonomi akan menjadi lebih kuat dengan mengambil kira minyak mentah sebagai komoditi paling utama di dunia. Secara tidak langsung BRICS akan menjadi gabungan negara pelbagai komoditi paling besar di dunia.

Penguasaan teknologi baharu

China sudah hampir mencapai taraf yang sama dengan Amerika Syarikat dan Barat dari sudut pembangunan dan penguasaan teknologi baharu malah dalam sesetengah teknologi baharu seperti AI atau kecerdasan buatan, China lebih maju dari Amerika Syarikat. Akibat daripada itu Amerika Syarikat dan Barat sedang berusaha sedaya upaya untuk menghalang kemajuan dan pembangunan teknologi baharu oleh China.

China disekat daripada memperolehi peralatan dan perkakasan terkini untuk pembangunan teknologi baharunya oleh Amerika Syarikat dan Barat, begitu juga Rusia akibat tindakannnya di Ukraine namun sebagaimana jangkaan, China dan Rusia dijangka mampu mengatasinya dalam jangka masa yang cukup singkat. Negara-negara anggota BRICS yang lain dijangka akan memperolehi manfaat ekonomi jangka panjang dari sudut pelaburan akibat penguasaan teknologi baharu oleh China.

Implikasi akibat operasi ketenteraan khas Rusia di Ukraine

Ketika Rusia melancarkan Operasi Ketenteraan Khas di Ukraine serta Amerika Syarikat dan Barat mula mengenakan pelbagai sekatan yang amat keras ke atas Rusia, ramai penganalisa ekonomi dan geopolitik dunia menyatakan Rusia akan terduduk, BRICS bakal berkubur dan negara – negara yang bersama serta membantu Rusia akan turut sama menerima akibat buruk.

Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya, Amerika Syarikat dan Barat menerima implikasi ekonomi yang amat teruk akibat tindakan mengenakan pelbagai sekatan keras terhadap Rusia di mana saat ini Amerika Syarikat dan Barat berkemungkinan besar akan menghadapi kegawatan ekonomi. Warga Barat terutamanya di Eropah ketika ini keluar ke jalanan memprotes akibat krisis ekonomi yang berlaku kerana kegagalan pentadbiran dan polisi kerajaan masing-masing.

Perang di Ukraine mendedahkan kelemahan peralatan ketenteraan Barat yang “diiklankan“ amat moden dan canggih dan dalam masa yang sama memaparkan kehebatan strategi, kemampuan peperangan dan persenjataan Rusia yang selama ini dikatakan usang dan ketinggalan zaman. Ternyata kali propaganda yang dijalankan Amerika Syarikat dan Barat kembali “memakan tuan“.

Hubungan antara negara anggota BRICS menjadi semakin erat sekali gus menarik lebih banyak negara untuk menyertai BRICS dan ia telah mencetuskan kebimbangkan Barat. “Dalam sekelip mata“ BRICS telah menjadi ancaman utama Barat dan kelihatan saat ini Amerika Syarikat dan Barat sedang mencuba sehabis mungkin untuk menggagalkan BRICS.

Melihat kepada keadaan semasa, BRICS dijangka akan menenggelamkan Amerika Syarikat dan Barat tidak lama lagi seterusnya akan mengakhiri hegemoni dan penguasaannya ke atas dunia. Namun persoalannya adakah Amerika Syarikat dan sekutu Baratnya hanya akan berpeluk tubuh? Pelbagai kemungkinan boleh berlaku termasuk Perang Dunia Ketiga yang mana bunga-bunganya sudah mula kelihatan saat ini.

Semoga Allah SWT merahmati dan melindungi kita semua.

“Malaysia Sejahtera”

YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 31/3/2023

- Advertisement -