Ecotourism Paya Lebar `permata’ baharu pelancongan Melaka

Khairul Firdaus Akbar Khan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedia berganding bahu bersama kerajaan Melaka bagi memastikan Ecotourism Paya Lebar menjadi antara destinasi pilihan utama pelancong apabila melawat Melaka.

Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata sepanjang tahun 2021 dan 2022, MOTAC menyalurkan sebanyak RM12.81 juta bagi pelaksanaan 28 projek fizikal di Melaka merangkumi penyelenggaraan kecil infrastruktur pelancongan, naik taraf kampung budaya dan projek pembangunan.

- Advertisement -

Bagi projek pembangunan Ecotourism Paya Lebar, Alor Gajah, katanya MOTAC telah menyalurkan sebanyak RM2.31 juta di bawah Rolling Plan Pertama, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP1, RMKe-12) Tahun 2021.

Katanya, projek dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah dan siap sepenuhnya pada 23 Disember 2022 serta sedia untuk menerima kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa.

“Skop projek Ecotourism Paya Lebar adalah pembinaan empat jeti pelancong di empat lokasi bot pelancongan, papan tanda informasi, boardwalk dan tandas awam di jeti pelancongan tersebut,” katanya menjawab soalan Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan, Mas Ermieyati meminta MOTAC menyatakan komitmen dan perancangan pelan jangka masa pendek serta jangka masa panjang terhadap projek Ekotourism Paya Lebar.

Khairul Firdaus berkata, antara perancangan jangka pendek dan jangka panjang yang ditetapkan oleh kerajaan Melaka adalah untuk mempromosikan produk Ecotourism Paya Lebar melalui media sosial dan pameran.

Menurutnya, perancangan lain ialah menambah jenis pakej perjalanan baharu dan memperbarui pakej yang sudah ada, menyediakan fasiliti dan layanan tambahan untuk meningkatkan pengalaman pelancong sepanjang perjalanan dan memperluaskan jangkauan ke kawasan baharu. – HARAKAHDAILY 30/3/2023

- Advertisement -