30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (8)

- Advertisement -

HIKMAH 8:

- Advertisement -

مَا اسْتُودِعَ في غَيْبِ السَّرائِرِ ظَهَرَ في شَهادةِ الظَّواهِرِ

“Apa yang tersimpan dalam diri akan terzahir di luaran.”

Maksud:

1. Zahir luaran adalah petanda dalaman. Kata Syeikh As-Syarnubi, sesiapa yang elok hatinya akan terpuji pekertinya. Sabda Rasulullah S.A.W:

لو خَشَعَ قَلْبُ هذا لخشعَتْ جوارِحُه

“Jika khusyuk hati ini maka akan khusyuklah anggotanya.”

[Hadis Riwayat Tirmizi]

2. Tiada istilah walau luaran teruk tapi hati baik. Luaran adalah cerminan dalaman. Walaupun orang baik luarannya tak semestinya baik dalamannya, tetapi yang buruk luaran pasti buruk juga dalamannya.

3. Jangan terpedaya dengan sesetengah ‘wali’ yang luaran buruk, tapi mendakwa diri kekasih Allah. Ada yang hisap rokok, buka aurat, minum arak, langgar syarak tapi tetap disanjung kerana didakwa wali. Ini tiada dalam konsep tasawuf yang hakiki.

Ibrah Ramadan:

Ramadan adalah tarbiah bagi memperbetulkan diri luar dan dalam. Ibadah luaran anggota badan seperti puasa, sedekah, solat, zikir bertujuan bagi melentur dalaman agar menjadi insan yang memiliki akhlak mahmudah seperti zuhud, qanaah, sabar, khusyuk dan sebagainya.

Janganlah hanya beribadat kerana kemeriahan Ramadan sahaja. Pastikan ibadat yang dilakukan bukan sekadar di masjid dan hadapan orang. Peruntukan juga ibadat di rumah seperti zikir sebelum tidur, qiamullail, baca al-Quran dan sebagainya.

ALANG IBN SHUKRIMUN
8 Ramadan 1444
30 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 30/3/2023

- Advertisement -