Jawapan kepada soalan Ahmad Marzuk yang tidak dijawab

marzuk
Datuk Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kadar semasa Rancangan Makanan Tambahan (RMT) adalah RM3.50 di Semenanjung Malaysia dan RM4 di negeri Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan bermula pada 6 November 2022.

- Advertisement -

Demikian jawapan Kementerian Pendidikan kepada soalan Datuk Ahmad Marzuk Shaary [PN-Pengkalan Chepa] yang tidak dijawab semasa persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Susulan itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor menegur Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying yang gagal menyediakan jawapan terhadap soalan itu.

“Yang Berhormat (Timbalan) Menteri, perkara ini sepatutnya tidak berlaku. Saya berharap pihak kerajaan, ketua majlis ambil maklum tentang perkara ini. Ia memberikan satu senario yang tidak baik kepada kerajaan,” kata Ramli.

Sementara itu, Ahmad Marzuk yang megadakan sidang media selepas itu mendesak Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Lim Hui Ying meletakkan jawatan berikutan kegagalan menjawab soalan berkenaan.

Marzuk dalam soalannya meminta Menteri Pendidikan menyatakan peruntukan Program Rancangan Khas (RMT) dan mekanisme pemantauan makanan RMT untuk memastikan murid sekolah mendapat makanan yang berkhasiat.

Berikut ialah jawapan KPM.

Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) adalah inisiatif pemberian makanan tambahan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada murid sekolah rendah yang layak mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Kadar semasa RMT adalah sebanyak RM3.50 di Semenanjung Malaysia dan RM4.00 di negeri Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan bermula pada 6 November 2022.

Penerima RMT semasa pula adalah berjumlah 762,244 orang murid dengan peruntukan sebanyak RM616.8 juta pada tahun 2022 bagi membekalkan satu set makanan dan sekotak susu setiap hari persekolahan.

Di peringkat sekolah, pemantauan RMT dilaksanakan oleh pentadbir sekolah, guru penyelaras RMT dan guru bertugas mengikut tatacara yang ditetapkan oleh pihak KPM melalui Buku Garis Panduan Pengurusan RMT di sekolah.

Kualiti dan kuantiti menu makanan yang disediakan dicatat oleh guru bertugas setiap hari di dalam buku log RMT yang disediakan dan disahkan oleh pentadbir setiap minggu.

Melalui mekanisme ini, pembekal RMT sentiasa diberikan peringatan supaya kualiti dan kuantiti makanan yang dibekalkan adalah menepati standard yang ditetapkan.

Pemantauan juga dilaksanakan oleh pejabat pendidikan daerah (PPD), jabatan pendidikan negeri (JPN) dan KPM secara berkala termasuk pemantauan semasa permulaan sesi kalendar akademik bagi memastikan program RMT dilaksanakan pada hari pertama sesi persekolahan.

KPM sentiasa menambah baik program RMT dari semasa ke semasa. Terkini, KPM telah merancang sesi latihan dan bimbingan pelaksanaan pemantauan penyediaan makanan RMT di sekolah kepada pegawai penyelaras di JPN dan PPD dalam tempoh Februari hingga Mac 2023.

Sesi latihan dan bimbingan ini merangkumi pengukuhan pemahaman terhadap Surat Pekeliling Kewangan, Buku Panduan Pengurusan dan instrumen pemantauan program RMT yang disediakan oleh KPM.

Simulasi pemantauan juga dilaksanakan oleh pegawai KPM di beberapa sekolah terpilih bagi tujuan tunjuk cara kaedah pemantauan penyediaan makanan RMT yang berkesan.

Selain daripada pemantauan yang dilaksanakan oleh pihak KPM, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut melaksanakan pemantauan program RMT bagi memastikan kebersihan dan kaedah penyediaan makanan menepati standard dan menu yang telah ditetapkan bersama-sama KKM dan KPM.

Maklumat dan dapatan pemantauan ini disalurkan kepada pihak KPM untuk makluman dan tindakan penambahbaikan. – HARAKAHDAILY 27/3/2023

- Advertisement -