Bila kuasa disalah guna

- Advertisement -

ADA satu kisah yang benar-benar, baru sahaja berlaku. Tetapi bukan di negara kita. Ia melibatkan sekumpulan pelajar di sebuah sekolah swasta. Ia berkisar mengenai jadual harian bertugas untuk mengemas kelas mereka. Semua akan terlibat, tidak kira siapa, kecil besar ataupun anak siapa. 

Berkebetulan tugasan hari itu jatuh kepada kumpulan yang mana salah seorangnya ialah anak kepada majistret (bukan Ketua Hakim atau hakim berpangkat senior). Semua orang telah menjalankan tugasan masing-masing, tetapi budak perempuan itu seorang, menolak untuk menyelesaikan bahagiannya.

Maka terjadilah perbalahan sesama mereka, kerana tidak berpuashati dengan sikap yang mementingkan diri oleh pelajar perempuan itu. Pertelingkahan tidak berhenti, malah menjadi lebih panjang. Sebagai pelajar, ejek mengejek akan menjadi antara senjata mereka. Maka bisinglah sekolah dengan keadaan itu yang turut dicampuri oleh guru.

Sepatutnya perkara itu dapat dihentikan jika pelajar perempuan itu menurut kehendak jadual kelas. Sebaliknya dia berbangga dan mengatakan bahawa sebagai anak majistret, dia tidak seharusnya melakukan kerja-kerja pembersihan itu. Dia anak orang kaya dan berpengaruh. 

Apabila kes menjadi semakin tenat, berlarutan sehingga berhari-hari, tanpa disangka, majistret itu pergi ke sekolah anaknya kerana tidak tertahan lagi. Malangnya majistret itu, yang juga seorang wanita, tidak datang untuk mendengar keseluruhan cerita dari semua pihak, tetapi kedatangannya adalah untuk menjatuhkan hukuman.

Ya, ia bermula dari isu remeh iaitu, tugasan harian kelas, melibatkan pelajar-pelajar dan sekarang, ibu bapa serta guru-guru, tersepit dengan keadaan itu. Ada antara pelajar itu telah menaikkan kisah ini dalam media sosial yang mana, warga maya begitu marah dengan sikap sombong anak majistret itu. Berang dengan itu, merasa maruahnya tercabar, menggunakan kuasanya, majistret itu memanggil ibu kepada pelajar yang dikatakan menghina anaknya di media sosial itu. Si ibu itu telah dipaksa untuk tunduk melutut, meminta maaf kepada dia dan anaknya.

Tiada kesalahan ke atas ibu itu, hal budak-budak sahaja, tetapi taraf sosial, memisahkan mereka dicampur dengan ugutan dari majistret itu, maka si ibu yang juga memikirkan nasib anaknya, ketakutan, terpaksa melutut dan memohon maaf. Akan tetapi penghinaan itu berbalas. Warga maya yang mengetahui akan kejadian yang menjatuhkan maruah si ibu itu, terus membuat desakan kepada kerajaan supaya tindakan dikenakan terhadap majistret itu. Ia semakin lama semakin berapi kemarahan rakyat dan mengakibatkan tunjuk perasaan untuk beberapa hari.

Dan tiba masa, keadilan datang kepada si ibu tadi. Setelah didesak oleh rakyat, maka, kerajaan telah bersetuju untuk berbuat sesuatu. Dalam masa 24 jam, majistret itu ditukarkan ke kawasan lain dan dikatakan dikenakan beberapa tindakan lain. Kemenangan bagi si ibu yang tidak bersalah dan juga rakyat secara keseluruhannya. Begitulah kuasa menularkan sesuatu bagi kebaikan semua, menatijahkan hasil yang baik. 

Tetapi sayang, ramai yang salah menggunakan platform media sosial memilih untuk mencampuri urusan peribadi orang lain, juga untuk menipu sana dan sini. Bagi mereka jika mencampuri urusan politik, ia akan menyebabkan negara berpecah belah, sedang kalau mereka mencampuri urusan hidup orang lain, itu tidak mengapa sebab mereka netizen, boleh beri pendapat apapun berkaitan hal peribadi orang.

Kerana keegoan majistret itu, harganya cukup murah dengan majistret itu tadi dikenakan tindakan, malu, dihina masyarakat hanya kerana mahu membela anaknya yang tidak berdisiplin, melanggar peraturan. Dan sebagai seorang majistret, beliau sepatutnya lebih peka dengan keadilan dan mengajarkan dahulu anaknya untuk berdisiplin. 

Tetapi hal ini sudah menjadi kebiasaan kepada orang yang mempunyai kuasa. Mereka tidak peduli dengan tindakan mereka itu, asalkan rakyat melihat mereka berkuasa terhadap semua, walaupun terang-terangan ia salah. Mereka akan hanya membela orang mereka.

Jenayah atau kejahatan yang besar yang dilakukan oleh kumpulan mereka, tidak boleh orang perkatakan, mereka marah, namun kesalahan orang, mereka besar-besarkan, walaupun ia hanya kecil. Begitulah, hinanya mereka di dunia, tanpa mereka sedari. Dahulu janji akan berintegriti, tetapi bila ada kuasa, integriti disepak, diterajang keluar dari pejabatnya.

Bagi manusia yang berintegriti, pastinya akan ada terlihat jahatnya itu. Apatah lagi orang yang beriman, mereka nampak dan lebih lagi akan merasa jijik dengan dosa-dosa sebegini. Orang beriman akan malu dengan dosa, tetapi golongan yang menipu, salah guna kuasa, akan rasa bangga dengan kerja jahat mereka, apa dia nak malu, janji dapat kuasa.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 27/3/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -