Akidah asas dalam perjuangan

- Advertisement -

TAWAU: “Saya tegaskan persoalan akidah merupakan asas dalam perjuangan,” kata Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Ibrahim Zakaria.

- Advertisement -

Menurutnya, beberapa orang sahabat nabi pada zaman awal perjuangan Islam, iaitu Khabbab bin Arat, Bilal bin Rabah dan keluarga Yasir yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi kelangsungan perjuangan Islam.

“Walaupun Nabi diberikan pelbagai tawaran seperti pangkat, harta, wanita dan takhta namun semua ditolak demi memastikan Islam dapat diperjuangkan dan didaulatkan sehingga kini,” ujarnya ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Sabah kali ke 25 di sini, kelmarin.

Sementara itu dalam ucaptamanya, Ketua Dewan Ulamak PAS Sabah, Ustaz Adsman Ibrahim menekankan bahawa pentingnya muktamar sebagai medan muhasabah dan penambahbaikan pengurusan organisasi pada masa akan datang.

Beliau turut menekankan pentingnya wala’ kepada pemimpin ketika susah mahupun senang dan sentiasa berusaha menyuburkan semangat ukhuwah dalam kalangan ahli Dewan Ulamak.

Pada muktamar kali ini, Ustaz Adsman dipilih semula sebagai Ketua Dewan Ulama negeri bagi sesi 2023-2025.

Sebanyak sembilan Dewan Ulamak PAS kawasan telah ditubuhkan di seluruh Sabah dan telah menerima sijil penubuhan yang disampaikan oleh Ustaz Ibrahim kepada Ketua Dewan Ulamak setiap kawasan. – HARAKAHDAILY 27/3/2023

- Advertisement -