Bina kekuatan ummah melalui kasih sayang, perpaduan

- Advertisement -

TAWAU: Muslimat PAS digesa untuk menjadi penggerak utama yang dapat membina kekuatan ummah melalui kasih sayang dan perpaduan.

- Advertisement -

Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu, kekuatan perpaduan ummah hanya dapat dicapai dengan menyatukan seluruh kekuatan umat Islam tanpa mengira latar belakang politik, aliran pemikiran dan pertubuhan.

“Jaringan kerjasama umat Islam melalui pelbagai platform, sama ada aspek ekonomi, pendidikan, kebajikan, sukarelawan, perjuangan maruah umat Islam dan sebagainya, perlu digiatkan serta diperkukuhkan.

“Ahli perlu memberikan tumpuan kepadausaha kerja dakwah bersama yang boleh bangkitkan dan menarik minat masyarakat untuk menyokong usaha dakwah ini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Dewan Muslimat PAS Sabah kali ke-33 di Hotel Emas, di sini hari ini. Muktamar itu dirasmikan oleh Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Nor.

Beliau mengharapkan, kekuatan perpaduan umat Islam menjadi pendorong utama kepada Perpaduan Nasional.

Katanya, hubungan yang erat seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum adalah satu simbol kejayaan negara yang menjadi penanda aras kepada keharmonian dalam kepelbagaian yang dihasratkan oleh warga dunia.

“Perlu juga ditekankan bahawa cita-cita untuk mengukuhkan perpaduan hanya akan terhasil jika bermula dari hati yang penuh dengan kasih sayang.

“Sering kali kita terlalu memberikan fokus kepada hasil iaitu perpaduan, dengan mengetepikan kepentingan nilai utama iaitu kasih sayang, yang mampu membawa kepada hasil yang diingini,” katanya.

Tambahnya lagi, dengan tema muktamar ‘Perkasakan Dakwah, Perkukuh Perpaduan Ummah’ menunjukkan bahawa Muslimat PAS mengambil pendirian tegas menyatukan semua rakyat yang cintakan kesejahteraan bagi memastikan negara sentiasa dalam keadaan stabil.

Menurut Norsah, PAS sedia bekerjasama dengan siapa sahaja yang menghormati dan menerima syarat yang telah ditetapkan dalam muafakat bersama rakan politik.

Beliau turut menegaskan, PAS sentiasa berjiwa besar untuk saling bertoleransi dengan semua pihak asalkan prinsipnya masih dihormati.

Ini ujarnya penting sebagai suatu cara untuk mencari titik persefahaman dalam meraikan perbezaan masing-masing dalam sesebuah organisasi. – HARAKAHDAILY 25/3/2023

- Advertisement -