Mansuh SRP: KPKT sedang ‘kawal’ pemilikan rumah?

KERAJAAN dituntut memberi penjelasan kukuh berhubung tindakan memansuhkan Skim Rumah Pertamaku (SRP) yang diumum akan bermula pada 1 April nanti. Walaupun boleh beralih kepada Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), tetapi ia mungkin membantutkan hasrat pemohon berkemampuan atau berpendapatan tetap untuk memiliki rumah idaman.

Kerana secara realitinya, kebanyakan yang membeli bagi memiliki rumah pertama, mereka sebenarnya bermatlamatkan sebagai ‘rumah selama-lamanya’. Terutama bagi kalangan Bumiputera di mana mereka bekerjaya, berkeluarga dan bermasyarakat di satu tempat, bukannya mahu asyik berpindah-randah, melainkan ada keperluan tugas atau perkhidmatan.

Apatah lagi untuk memiliki beban melalui hutang dengan membuat tambahan atau pinjaman kewangan baharu bagi memiliki dan menduduki kediaman lain. Ia tidak praktikal dengan realiti kebanyakan Bumiputera dalam menjalani kehidupan mereka. Kerana ia melibatkan pelbagai kepentingan dan hambatan berkaitan sosial, ekonomi, budaya dan sebagainya.

Oleh itu mereka saat memilih untuk memiliki kediaman, ia telah ditentu sebagai ‘menetap’ iaitulah membina kehidupan dan masa depan hatta mati pun di situ, bukannya sesuatu yang kabur atau spekulasi. Oleh itu pilihan rumah kediaman itu adalah strategik bagi segala hal jangka panjang dan pasti, di mana sudah tentulah ia juga selesa dan idea bagi matlamat mereka.

Sebaliknya, dengan pemansuhan ini menyebabkan pemohon yang layak SRP akan terpaksa berebut dan bersaing dengan pemohon SJKP, ini dikhuatiri ia akan mengurangkan peluang pemohon SJKP itu sendiri. Tambahan pula pembinaan kediaman di bawah RM300,000 semakin kurang mahu dibangunkan para pemaju hartanah yang lebih ghairah mengaut keuntungan.

Ketidakselarasan ini malah membangkitkan kemusykilan terhadap Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang seolah-olah sedang ‘mengawal dan mempolarisasikan’ pemilikan kediaman. Apakah ini yang didapati dari penglibatan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura? Di mana parti pemerintah negara jiran itu pernah berbuat demikian.

Sepatutnya kepada rakyat sendiri dibuka dan dipermudahkan ‘peluang’ pemilikan dengan kerajaan memperkasakan skim yang telah sedia ada. Juga mengadakan mekanisme yang lebih komprehensif untuk rakyat memiliki rumah kediaman. Iaitulah dengan melibatkan sama pelbagai institusi dan badan yang dapat mendukung usaha tersebut termasuk pihak swasta.

Sedarlah, setelah lebih 60 tahun negara ini mencapai kemerdekaan, pemilikan kediaman oleh kaum Bumiputera pun masih di bawah 10 peratus, sedang kaum lain termasuk warga asing lebih ramai memiliki kediaman. Kedaulatan negara ini mesti dipertahankan dengan rakyat memiliki tanah sendiri. Tentu Kerajaan Madani tidak mahu rakyatnya seperti pelarian di negara sendiri.

“Malaysia Sejahtera”

DATUK HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Pengerusi
Lajnah Pembangunan Tanah, Perumahan dan Hal Ehwal Orang Asal
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 25/3/2023

Advertisement