Menelusuri kisah agung surah al-Kahfi (8)

- Advertisement -

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ ٱسْجُدُوا۟ لِـَٔادَمَ فَسَجَدُوٓا۟ إِلَّآ إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ ٱلْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِۦٓ ۗ أَفَتَتَّخِذُونَهُۥ وَذُرِّيَّتَهُۥٓ أَوْلِيَآءَ مِن دُونِى وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّۢ ۚ بِئْسَ لِلظَّـٰلِمِينَ بَدَلًۭا ٥٠

- Advertisement -

“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai Sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim, pengganti yang mereka pilih itu.(50)

Pelbagai cara yang digunakan oleh Iblis untuk menyesatkan kita. Oleh sebab itu, musuh utama kita adalah Iblis. Orang baik pun dihasutinya, misalnya dalam kisah Syeikh Qadir Jailani, semasa beliau sedang berwirid, Iblis menjelma di hadapannya dan menyatakan bahawa ia adalah tuhan dan menyuruh agar beliau sujud kepadanya. 

Sekiranya niat orang yang belajar itu adalah tidak ikhlas, maka dia boleh menjadi orang yang sesat. Kebanyakan orang-orang yang mudah sesat ialah mereka yang mempelajari ilmu batin kerana bertujuankan duniawi. Walaupun belajar ilmu Tarekat tetapi tidak ikhlas, dia sendiri boleh terpesong. Sebab ada sesetengah orang yang mempelajari ilmu, mereka mula melakukan hal-hal yang tidak elok disebabkan oleh hasutan Iblis. Sehingga ada yang merasakan bahawa mereka berada pada makam yang sudah tinggi, maka solat dan puasa tidak lagi menjadi kewajipan bagi mereka tetapi bagi orang awam sahaja. Ibn al-Jauzi ada menuliskannya dalam kitab yang berjudul ‘Talbis Iblis’. 

Beza antara penjual minyak wangi dengan tukang besi

۞ مَّآ أَشْهَدتُّهُمْ خَلْقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَلَا خَلْقَ أَنفُسِهِمْ وَمَا كُنتُ مُتَّخِذَ ٱلْمُضِلِّينَ عَضُدًۭا ٥١

“Aku tidak memanggil mereka menyaksi atau membantuKu menciptakan langit dan bumi, dan tidak juga meminta bantuan setengahnya untuk menciptakan setengahnya yang lain; dan tidak sepatutnya Aku mengambil makhluk-makhluk yang menyesatkan itu sebagai pembantu.” (51)

Allah S.W.T tidak berpakat dengan mana-mana makhluk termasuklah Iblis untuk menciptakan langit dan bumi. Bahkan Iblis itu sendiri merupakan ciptaan-Nya. Mustahil Dia menjadikan Iblis yang jahat itu sebagai pembantu-Nya. Apa yang boleh kita pelajari adalah kita hendaklah memilih kawan-kawan yang baik. Ia adalah sangat penting sebab kawan menjadi pendorong kita. 

Dalam satu Hadis, Nabi pernah berkata bahawa kawan baik umpama penjual minyak wangi dan kawan jahat umpama tukang besi. Hadis tersebut adalah seperti berikut: 

مَثَلُ الجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالسَّوْءِ، كَحَامِلِ المِسْكِ وَنَافِخِ الكِيرِ، فَحَامِلُ المِسْكِ: إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً، وَنَافِخُ الكِيرِ: إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً

“Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi sama ada dia memberi kamu untuk mencuba (minyak wangi tersebut), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, sama ada membakar bajumu atau kamu akan mendapatkan bau yang busuk”. [1]

Azab neraka sungguh dahsyat

وَيَوْمَ يَقُولُ نَادُوا۟ شُرَكَآءِىَ ٱلَّذِينَ زَعَمْتُمْ فَدَعَوْهُمْ فَلَمْ يَسْتَجِيبُوا۟ لَهُمْ وَجَعَلْنَا بَيْنَهُم مَّوْبِقًۭا ٥٢

“Dan (ingatkanlah) kelak ketika Allah berfirman: “Panggillah sekutu-sekutuKu yang kamu katakan itu (untuk menolong kamu); lalu mereka memanggilnya, tetapi sia-sia sahaja, kerana makhluk-makhluk itu tidak menyahut seruan mereka: dan kami jadikan untuk mereka bersama sebuah tempat azab yang membinasakan.” (52)

Di akhirat, orang-orang kafir akan meminta pertolongan. Allah mencabar mereka supaya memanggil patung-patung sembahan mereka sama ada patung-patung itu dapat membantu mereka ataupun tidak. Di dunia, batu mahupun kayu tidak dapat menolong kita, apatahlagi di akhirat kelak. 

Bahan bakar di dalam neraka adalah manusia dan batu. Kedua-duanya dijadikan sebagai kayu api. Betapa dahsyatnya azab dan kepanasannya sehinggakan batu tersebut hancur dan cair. Na’uzu billahi min zalik…

Lihat dengan mata hati

وَرَءَا ٱلْمُجْرِمُونَ ٱلنَّارَ فَظَنُّوٓا۟ أَنَّهُم مُّوَاقِعُوهَا وَلَمْ يَجِدُوا۟ عَنْهَا مَصْرِفًۭا ٥٣

“Dan orang-orang yang berdosa itu tetap akan melihat neraka, maka yakinlah mereka, bahawa mereka akan jatuh ke dalamnya dan mereka tidak akan mendapati sebarang jalan untuk mengelakkan diri daripadanya.(53)

Di Padang Mahsyar nanti, kita sudah dapat melihat neraka. Begitu juga keadaan di dalam kubur selain menerima seksaan daripada malaikat penjaga kubur, kita juga akan menerima gambaran mengenai syurga atau neraka. Oleh itu, kita disarankan untuk memperbanyakkan istighfar dan melakukan amal soleh. 

Dalam ayat lain, Allah menyebut yang bermaksud: “Aku selak selaput daripada pandanganmu. Dan pandanganmu pada hari ini jelas nyata.” Ia bermakna bahawa di akhirat kita dapat melihat segala yang tidak dapat dilihat di dunia. Sebab mata dan telinga kita masing-masing ada hadnya. 

Kanak-kanak tiada hijab kerana mereka bersih daripada dosa. Pandangan mata adalah pandangan zahir dan pandangan yang sebenar adalah pandangan hati. Misalnya, orang buta mampu menghafal al-Quran, berjalan dan sebagainya. Kadang-kadang, orang buta dapat mengecam seseorang melalui bau atau bunyi. Maka, tidak pelik sekiranya Allah mencampakkan ilham ke dalam hati mereka yang bersih. 

Peringatan al-Quran; Adakah kita abaikan begitu sahaja?

وَلَقَدْ صَرَّفْنَا فِى هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانِ لِلنَّاسِ مِن كُلِّ مَثَلٍۢ ۚ وَكَانَ ٱلْإِنسَـٰنُ أَكْثَرَ شَىْءٍۢ جَدَلًۭا ٥٤

“Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan; dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.” (54)

Ayat-ayat al-Quran dihuraikan melalui pelbagai cara dan pendekatan agar kita menerima agama, mengikuti ajaran Allah dan melakukan perkara-perkara yang baik. Namun begitu, masih ramai yang tidak mahu mengikutinya.

Ia termasuklah orang yang membaca al-Quran. Sesetengahnya membaca semata-mata untuk mendapatkan pahala, takutkan hantu dan sebagainya. Sebaiknya tujuan kita membaca al-Quran adalah untuk mendapatkan petunjuk. 

Misalnya dalam bulan Ramadan, ada yang boleh khatam al-Quran sebanyak tiga kali. Bagi yang tidak mampu berbuat sedemikian, usahlah bersedih. Boleh juga membaca surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali kerana Nabi pernah berkata bahawa surah ini menyamai satu pertiga al-Quran. 

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَصْحَابِهِ أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَقْرَأَ ثُلُثَ الْقُرْآنِ فِي لَيْلَةٍ فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِمْ وَقَالُوا أَيُّنَا يُطِيقُ ذَلِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَقَالَ اللَّهُ الْوَاحِدُ الصَّمَدُ ثُلُثُ الْقُرْآنِ

“Dari Abu Sa’id Al Khudri R.A, dia berkata; Nabi S.A.W bersabda kepada para Sahabatnya: “ Apakah salah seorang dari kalian tidak mampu untuk membaca sepertiga dari al-Quran pada setiap malam?” Para Sahabat berkata, “Siapakah di antara kami yang mampu melakukan hal itu wahai Rasulullah?” maka Baginda pun bersabda: “Qul Huwallahu Ahad (maksudnya surah al-Ikhlas) nilainya adalah sepertiga al-Quran”.” [2]

Selain itu, antara amalan yang dituntut oleh Nabi untuk kita adalah surah 3 Qul, bacalah pada setiap pagi dan petang. Sebab dalam satu Hadis, Nabi pernah bersabda yang bermaksud: 

“Katakanlah (bacalah) surah Al-Ikhlas dan surah Al-Falaq dan An-Nas ketika petang dan pagi sebanyak tiga kali. Maka dengan ayat-ayat ini akan mencukupkanmu (menjagamu) dari segala keburukan”. [3] 

Pada waktu malam sebelum tidur pun digalakkan untuk kita membacanya dalam keadaan duduk sambil membaca dan meniup ke kedua-dua tapak tangan kemudian, menyapu ke seluruh tubuh seperti dalam satu Hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.A:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى اللهُ عليه وسلم كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ، جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا: ﴿ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَد ﴾ وَ﴿ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَق ﴾ وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاس  ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ، يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ، وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ، يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ

“Sesungguhnya Nabi S.A.W jika Baginda berbaring ke tempat tidurnya pada setiap malam, Baginda akan menadah tangan kemudian menghembuskan ke kedua tapak tangannya. Lalu Baginda membaca : Qul Huwallahu Ahad, Qul ‘Auzu Birabil Falaq dan Qul A’uzu birabbinnas. Kemudian Baginda akan menyapu dengan kedua tapak tangannya ke tubuhnya bermula dari kepalanya dan wajahnya kemudian bahagian tubuhnya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali”. [4]

(Riwayat Al-Bukhari no. 5017)

Cara ini adalah sebagai perlindungan daripada sihir, orang yang ingin mengkhianati kita atau orang yang ingin mencuri harta benda di dalam rumah kita. 

Apabila Nabi sakit, Baginda membaca surah 3 Qul ini sebanyak tiga kali dan menggosok ke bahagian yang sakit. Sebab ada satu riwayat yang mengatakan bahawa Nabi pernah disihir oleh seorang wanita Yahudi. Baginda dirawat oleh dua malaikat dengan menggunakan bacaan tiga surah tersebut. Maka semenjak daripada itu, setiap kali Nabi sakit, Baginda akan membacanya. 

Pada suatu hari, Nabi mengejutkan Sayyidina Ali dan Sayyidatina Fatimah untuk menunaikan solat sunat Tahajjud. Sayyidina Ali mengeluh sekejap tetapi kemudiannya berasa malu dengan Nabi. Semenjak peristiwa itu, Sayyidina Ali dan isterinya sentiasa bangun pada waktu malam [5].

وَمَا مَنَعَ ٱلنَّاسَ أَن يُؤْمِنُوٓا۟ إِذْ جَآءَهُمُ ٱلْهُدَىٰ وَيَسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّهُمْ إِلَّآ أَن تَأْتِيَهُمْ سُنَّةُ ٱلْأَوَّلِينَ أَوْ يَأْتِيَهُمُ ٱلْعَذَابُ قُبُلًۭا ٥٥

“Dan tiada yang menghalang manusia daripada beriman, ketika datang petunjuk al-Quran kepada mereka, dan daripada memohon ampun kepada Tuhan mereka, melainkan (kerana kedegilan mereka dan kerana mereka) menunggu didatangi azab yang memusnahkan yang telah menimpa orang-orang dahulu, atau didatangi azab yang dilihat dan dihadapi.” (55)

Manusia tidak susah pun untuk beriman tetapi yang menjadi masalah adalah disebabkan oleh perangai. Kebiasaannya suka menangguh dan memberikan bermacam-macam alasan. Sebagai contoh, ada yang kata, ‘Tua-tua nanti kita carilah masjid’. Apabila sudah tua, maklumlah ada pelbagai penyakit seperti gout. 

Oleh sebab itu, Nabi pernah berpesan kepada kita; dari Ibnu Abbas, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: 

“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati”. [6]

Sebagai contoh, berilah bantuan dan bersedekahlah semasa harta masih ada.  

Cabaran bawa Islam

وَمَا نُرْسِلُ ٱلْمُرْسَلِينَ إِلَّا مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ ۚ وَيُجَـٰدِلُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِٱلْبَـٰطِلِ لِيُدْحِضُوا۟ بِهِ ٱلْحَقَّ ۖ وَٱتَّخَذُوٓا۟ ءَايَـٰتِى وَمَآ أُنذِرُوا۟ هُزُوًۭا ٥٦

“Dan tidak Kami mengutus Rasul-rasul, melainkan sebagai pemberi berita gembira dan pemberi amaran; dan orang-orang yang kafir membantah dengan alasan yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan bantahan itu; dan mereka jadikan ayat-ayatku, dan amaran yang diberikan kepada mereka sebagai ejek-ejekan.” (56)

Tujuan Rasul diutuskan adalah untuk:

1. Memberi amaran ancaman. Jika kita tidak beriman, Allah akan murka dan kita akan dimasukkan ke dalam neraka. 

2. Memberi khabar gembira. Jika kita beriman, Allah akan mengampunkan dan kita akan dimasukkan ke dalam syurga. 

Orang kafir suka berbahas mengenai ajaran Nabi dengan cara yang palsu untuk menyekat kebenaran. Di dunia, kita akan berhadapan dengan pelbagai masalah apabila ingin mengamalkan Islam. Sebagai contoh, Iran yang merupakan negara Islam diboikot oleh Barat. 

Begitu juga dengan Turki yang kini perlahan-lahan sedang membawa Islam dilihat ingin mengembalikan kehebatan Kerajaan Turki Uthmaniyah pada suatu ketika dahulu. Perjanjian Lausanne yang dibuat oleh pihak Kerajaan Bersekutu dengan Turki sudah tamat tempohnya. Ada kemungkinan bahawa Turki akan menuntut semula tanah jajahan takluknya. Persiapan teknologi senjata yang dimiliki oleh Turki juga menakutkan Barat. Contoh lain juga adalah kerajaan di Mesir yang diawasi oleh Barat. 

Walaupun cabarannya besar, ia tidak bermakna kita perlu duduk diam tetapi kita mestilah berusaha setakat yang kita mampu. Orang bukan-Islam memang tidak menyukai kita sampai bila-bila. 

Bukan Allah tidak memberi hidayah, tetapi kita yang tidak mahu menerimanya

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِـَٔايَـٰتِ رَبِّهِۦ فَأَعْرَضَ عَنْهَا وَنَسِىَ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ ۚ إِنَّا جَعَلْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً أَن يَفْقَهُوهُ وَفِىٓ ءَاذَانِهِمْ وَقْرًۭا ۖ وَإِن تَدْعُهُمْ إِلَى ٱلْهُدَىٰ فَلَن يَهْتَدُوٓا۟ إِذًا أَبَدًۭا ٥٧

“Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan sikap mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.” (57)

Orang-orang yang menolak ajaran para Nabi dan Rasul akan dihukum oleh Allah S.W.T. Hukumannya ibarat seperti menjadi orang pekak dan hilang pertimbangan. Sebab mereka tidak mahu mendengar dan menerima perkara-perkara yang baik. 

Umpama bekas kosong yang ditutup yang dijirus air ke atasnya. Hidayah tidak masuk ke dalam hati kerana diri sendiri menolaknya. Oleh itu, kita hendaklah membuka hati agar mudah-mudahan hidayah-Nya masuk ke dalam hati kita. 

Sifat Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

وَرَبُّكَ ٱلْغَفُورُ ذُو ٱلرَّحْمَةِ ۖ لَوْ يُؤَاخِذُهُم بِمَا كَسَبُوا۟ لَعَجَّلَ لَهُمُ ٱلْعَذَابَ ۚ بَل لَّهُم مَّوْعِدٌۭ لَّن يَجِدُوا۟ مِن دُونِهِۦ مَوْئِلًۭا ٥٨

“Dan Tuhanmu Maha Pengampun, lagi melimpah-limpah rahmatnya. Jika Dia mahu menyeksa mereka (di dunia) disebabkan apa yang mereka telah usahakan, tentulah Dia akan menyegerakan azab itu menimpa mereka; (tetapi Dia tidak berbuat demikian) bahkan ditentukan bagi mereka satu masa yang mereka tidak sekali-kali akan dapat sebarang tempat perlindungan, selain daripadaNya.” (58)

Jika bukan kerana sifat Allah S.W.T yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, nescaya orang-orang yang menentang Islam dan kufur dengan-Nya sudah lama binasa. Namun, Allah menangguhkannya terutama pada zaman kita. 

Berbeza dengan zaman dahulu di mana kebinasaan berlaku secara langsung, antaranya adalah pada zaman Nabi Nuh dan Nabi Luth. Kebinasaan ditangguhkan pada zaman Nabi Muhammad adalah kerana doa Nabi S.A.W. Baginda memohon supaya azab ditangguhkan kepada umatnya. 

Orang-orang kafir tidak akan dapat makan atau minum sekiranya Allah mempunyai sifat seperti kita (makhluk). Disebabkan oleh kedua-dua sifat itulah, kadang-kadang kehidupan orang-orang kafir adalah jauh lebih mewah daripada kita. 

Kehidupan orang-orang Islam yang kurang mewah di dunia akan diganjarkan dengan yang lebih lagi di akhirat kelak. Sebab dunia ini sifatnya sementara dan akhirat kekal sampai bila-bila. Kesusahan di dunia yang kita hadapi adalah lebih kecil jika nak dibandingkan dengan nikmat syurga. 

وَتِلْكَ ٱلْقُرَىٰٓ أَهْلَكْنَـٰهُمْ لَمَّا ظَلَمُوا۟ وَجَعَلْنَا لِمَهْلِكِهِم مَّوْعِدًۭا ٥٩

“Dan penduduk negeri-negeri (yang derhaka) itu Kami telah binasakan ketika mereka melakukan kezaliman, dan Kami telah tetapkan satu masa yang tertentu bagi kebinasaan mereka. (59)

Ayat ini mengajarkan kepada kita agar menghadapi hidup ini dengan tabah dan tenang.

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 20 Mac 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan.HARAKAHDAILY 24/3/2023

Rujukan:  

[1] Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari (no Hadis 5534), dan Imam Muslim (no Hadis 2628).
[2] Hadis Sahih Riwayat imam Muslim (no Hadis 811).
[3] Hadis Riwayat Imam al-Nasa’i (no Hadis 7860).
[4] Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari (no Hadis 5017).
[5] Kisah ini ada diriwayatkan dalam Kitab Sahih Imam Bukhari (no Hadis 7465).
[6] Hadis riwayat Imam al-Hakim (no Hadis 7846) dan Imam al-Baihaqi dalam Shu’ab al-Iman (10248).

- Advertisement -