PN rujuk MP Tambun ke Jawatankuasa Hak Parlimen

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Armada Bersatu membuat laporan polis ke atas Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng kerana didakwa memfitnah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan isu pelepasan cukai Yayasan Albukhary dan anak syarikatnya.

- Advertisement -

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, jawapan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat baru-baru ini jelas mengelirukan.

Katanya pertuduhan yang dibuat ke atas Muhyiddin baru-baru ini membabitkan isu di mana pada minggu lalu soalan dibangkit Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin kepada Perdana Menteri.

“Penjelasan Perdana Menteri ketika itu, bahawa Menteri Kewangan tidak ada kuasa untuk membatalkan pelepasan cukai,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Mersing Muhammad Islahuddin Abas, Exco Armada Nasional, Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid dan Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Machang, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin.

Ekoran itu katanya, Guan Eng menggunakan penjelasan daripada Anwar di Dewan Rakyat dengan membuat laporan polis pada 22 Mac lepas.

“Jadi kami ingin menjawab melalui laporan polis juga bahawa ia adalah fitnah kerana fakta yang tidak dijawab secara terus terang oleh Perdana Menteri ialah Yayasan Albukhary dan syarikat-syarikat di bawahnya mendapat pengecualian cukai semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) bagi tahun 2016 hingga 2018.

“Perdana Menteri juga tidak berterus terang dalam jawapannya di parlimen bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menolak pengecualian cukai tersebut dan ia berlaku semasa pemerintahan Pakatan Harapan ketika Guan Eng menjadi Menteri Kewangan.

“Perdana Menteri berbohong apabila menyatakan Menteri Kewangan tiada kuasa dan kuasa pengecualian cukai adalah kuasa mutlak Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (KPLDN) di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai 1967.

“Kenyataan Perdana Menteri itu mengelirukan kerana di bawah Seksyen 44(6B) Akta Cukai 1967 meletakkan membuat keputusan untuk LHDN yang boleh dirayu kepada Menteri Kewangan dan menteri boleh buat apa-apa keputusan yang berpatutan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, berdasarkan Seksyen 44(6B) Akta Cukai 1967, keputusan Ketua Pengarah LHDN tidaklah mutlak.

Oleh itu katanya PERIKATAN NASIONAL (PN) akan merujuk ahli parlimen Tambun ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“Jadi Perdana Menteri berbohong dengan berselindung di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai 1967, menteri juga mempunyai kuasa pengecualian yang lebih luas daripada KPLHDN di bawah Seksyen 127(3) Akta Cukai 1967.

“Ini yang Perdana Menteri tidak sebut di dalam dewan (Dewan Rakyat) dan Bagan, tidak sebut juga dalam penjelasan beliau, kononnya dia tidak terlibat,” katanya.

Tambah beliau, pendirian Armada Bersatu tetap mempertahankan Muhyiddin di mana pertuduhan terhadapnya berunsurkan politik semata-mata untuk melemahkan Bersatu dan PN menjelang Pilhan Raya Negeri. – HARAKAHDAILY 24/3/2023

- Advertisement -