Soalan
Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ada satu soalan, apakah hukum seseorang itu menghidu bau makanan atau asap daripada masakan? Adakah ia boleh membatalkan puasa? Mohon penjelasan Datuk. Terima kasih.
Ringkasan Jawapan
Hukum menghidu bau makanan ketika puasa adalah tidak membatalkan puasa. Namun begitu, sekiranya seseorang itu sengaja berlebihan menghidu bau tersebut, maka hukumnya adalah makruh atas sebab berlawanan dengan hikmah puasa itu sendiri.
Huraian Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.
Firman Allah SWT:
وَكُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ ٱلۡخَيۡطُ ٱلۡأَبۡيَضُ مِنَ ٱلۡخَيۡطِ ٱلۡأَسۡوَدِ مِنَ ٱلۡفَجۡرِۖ ثُمَّ أَتِمُّواْ ٱلصِّيَامَ إِلَى ٱلَّيۡلِۚ
Al-Baqarah, 2: 187
Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”
Sebagai seorang individu Muslim yang mukalaf, kita dituntut untuk mengerjakan ibadah puasa dengan menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari kerana Allah SWT. Antara perkara-perkara yang membatalkan puasa tersebut adalah memasukkan ain (sesuatu jirim) ke dalam rongga melalui saluran terbuka seperti mulut, hidung, qubul dan dubur sama ada lelaki atau perempuan.
Al-Imam al-Syirbini ada menyatakan bahawa sesuatu yang terkeluar daripada (maksud) ain iaitu kesan (suatu perkara) seperti bau atau angin disebabkan menghidu (sesuatu) dan juga kepanasan atau kesejukan sesuatu dengan sebab merasa[1].
Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami turut berkata: “Masuknya asap yang mengandungi bauan bukhor (kayu gaharu) atau selain daripadanya ke dalam rongga adalah tidak membatalkan puasa, sekalipun ia dilakukan dengan sengaja.[2]”
Begitu juga halnya dengan perbuatan mencium bau minyak wangi sebagaimana dijelaskan dalam artikel kami yang bertajuk Irsyad Fatwa Khas Ramadhan Siri Ke-174: Hukum Memakai Wangian Ketika Berpuasa[3]. Secara ringkasnya, hukum memakai minyak wangi saat berpuasa adalah tidak membatalkan puasa namun hukumnya makruh. Para ulama menjelaskan hikmah hukum makruh tersebut kerana ketika puasa kita wajib menahan diri daripada perkara yang boleh melonjakkan nafsu dan syahwat, sedangkan minyak wangi adalah termasuk hal yang boleh membangkitkan syahwat.
Al-Imam al-Syirbini ada menyatakan[4]:
(وَ) لْيَصُنْ (نَفْسَهُ) نَدْبًا (عَنْ الشَّهَوَاتِ) الَّتِي لَا تُبْطِلُ الصَّوْمَ مِنْ الْمَشْمُومَاتِ وَالْمُبْصِرَاتِ وَالْمَلْمُوسَاتِ وَالْمَسْمُوعَاتِ كَشَمِّ الرَّيَاحِينِ وَالنَّظَرِ إلَيْهَا وَلَمْسِهَا وَسَمَاعِ الْغِنَاءِ لِمَا فِي ذَلِكَ مِنْ التَّرَفُّهِ الَّذِي لَا يُنَاسِبُ حِكْمَةَ الصَّوْمِ، وَهِيَ لِتَنْكَسِرَ النَّفْسُ عَنْ الْهُوَى وَتَقْوَى عَلَى التَّقْوَى، بَلْ يُكْرَهُ لَهُ ذَلِكَ.
Maksudnya: “Dan sunat ke atas orang yang berpuasa untuk memelihara dirinya, daripada segala bentuk syahwat yang tidak membatalkan puasa sama ada melalui perbuatan menghidu, melihat, memegang atau mendengar seperti menghidu bunga yang berbau harum dan melihat kepadanya serta memegangnya, atau mendengar nyanyian. Hal ini kerana pada demikian itu terdapat kemewahan yang tidak sesuai dengan hikmah puasa iaitu membangkitkan nafsu dan membuatkan ia (nafsu) menandingi ketakwaan. Oleh yang demikian, perbuatan itu dimakruhkan ke atasnya.”
Berdasarkan penjelasan di atas hukum menghidu bau atau asap hidangan makanan, pada dasarnya hukum mencium atau menghidu bau-bauan ketika puasa adalah harus dan tidak pula membatalkan puasa seseorang. Namun begitu, sekiranya seseorang itu dengan sengaja menghidu bau tersebut secara berlebihan, maka makruh hukumnya. Hal ini kerana, seseorang individu Muslim yang berpuasa dituntut untuk menjauhkan dirinya daripada perkara-perkara yang boleh menaikkan nafsu dan syahwat di bulan Ramadan.
WallahuA’am.
Rujukan:
[1] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H), 2/155.
(وَ) الْإِمْسَاكِ (عَنْ وُصُولِ الْعَيْنِ) وَإِنْ قَلَّتْ كَسِمْسِمَةٍ أَوْ لَمْ تُؤْكَلْ كَحَصَاةٍ. (إلَى مَا يُسَمَّى جَوْفًا) ؛ لِأَنَّ الصَّوْمَ هُوَ الْإِمْسَاكُ عَنْ كُلِّ مَا يَصِلُ إلَى الْجَوْفِ، وَخَرَجَ بِالْعَيْنِ الْأَثَرُ، كَالرِّيحِ بِالشَّمِّ، وَحَرَارَةِ الْمَاءِ وَبُرُودَتِهِ بِالذَّوْقِ،
[2] Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, (Mesir: Al-Maktabah al-Tijariyah al-Kubra, t.c, 1357H), 3/400-401.
(قَوْلُهُ وَمِثْلُهُ وُصُولُ دُخَانِ نَحْوِ الْبَخُورِ إلَخْ) أَيْ: وَإِنْ فَتَحَ فَاهُ قَصْدًا لِذَلِكَ عِبَارَةُ النِّهَايَةِ بَعْدَ كَلَامٍ، وَيُؤْخَذُ مِنْهُ أَنَّ وُصُولَ الدُّخَانِ الَّذِي فِيهِ رَائِحَةُ الْبَخُورِ أَوْ غَيْرِهِ إلَى الْجَوْفِ لَا يُفْطِرُ بِهِ، وَإِنْ تَعَمَّدَ فَتْحَ فِيهِ لِأَجْلِ ذَلِكَ وَهُوَ ظَاهِرٌ
[3] Lihat: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/edisi-ramadhan/4535-irsyad-fatwa-khas-ramadhan-siri-ke-174-hukum-memakai-wangian-ketika-berpuasa, laman web diakses pada 5/4/2022.
[4] Al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, 2/167-168.
Tulisan ini diambil daripada kolum Irsyad Fatwa Edisi Khas Ramadhan yang disiarkan melalui laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 23 Mac 2023.