PAS semarakkan Ramadan sekitar Lorong Haji Taib

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat (LKKPP) telah menggerakkan Tabung Ihya’ Ramadan 1444H/2023M sempena kedatangan bulan mulia penuh barakah yang dijangka disambut esok.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai telah menyempurnakan pelancaran tabung tahunan ini dalam satu majlis ringkas yang dilangsungkan di Pejabat Agung PAS, di sini semalam.

Program yang memasuki tahun ke-13 ini merupakan sebahagian usaha mengimarahkan Ramadan sebagaimana saranan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar mendekati dan merawati sekitar ‘kejiranan’ pejabat ini.

Pengerusi LKKPP, Dr Rosni Adam memberitahu, Tuan Guru mahu dengan peranan kebajikan tersebut menjadikan kawasan ini ‘hijau dan putih’ dengan Islam dan iman sebagaimana Islam berputik di Ibu Kota Madinah al-Munawwarah.

“Inilah antara pengertian atau pengisian kepada makna ‘madani’ yang sebenar. Setiap tahun, sambutan daripada ‘rakan jalanan’ sangat menggalakkan terdiri daripada anak muda dan wanita pelbagai kaum. Melayu, Cina dan India.

“Kita berharap agar program-program anjuran LKKPP tahun ini mampu menghidupkan persekitaran Lorong Haji Taib dengan suasana Ramadan,” ujar beliau yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS Malaysia.

Pengarah Ihya’ Ramadan, Yusoop Abd Hamid memaklumkan, selain menjadikan program tahunan PAS Pusat, pihaknya juga akan memanjangkan keraian dan penghargaan kepada para amilin dan murabitun parti.

Sempena pelancaran yang disempurnakan tersebut, pihak LKKPP memulakan aktiviti pertama dengan mengadakan Ziarah Kasih dan Dakwah dipimpin sendiri oleh Dr Rosni dan Yusoop pada petang semalam.

Para dermawan yang berhajat turut sama menjayakan aktiviti-aktiviti Ihya’ Ramadan ini boleh menyumbang menerusi akaun Bank Islam 1211 3010 0261 50 atas nama Dana Kami Prihatin bersama rujukan Ihya’ Ramadan. – HARAKAHDAILY 21/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -