PLASMA latih 2,276 orang hingga 2022

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PLASMA Keratong merupakan pusat latihan bertauliah di bawah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) ditubuhkan untuk menjadi satu pusat dalam memberi latihan kepada warga tempatan, kata Kementerian Perladangan dan Komoditi.

- Advertisement -

Ini, katanya bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang sektor komoditi sawit khasnya dan lain-lain amnya bagi menambah hasil pengeluaran komoditi, membantu meningkatkan produktiviti serta mengurangkan pergantungan kepada tenaga buruh terutama tenaga asing disamping mendedahkan pelatih menjadi seorang usahawan dalm sektor komoditi sawit khasnya.

Menurutnya, Program Kursus Operasi Mekanisasi Ladang (KOML) yang dilaksanakan di PLASMA Keratong telah membuka peluang kepada belia tempatan untuk mendapatkan kemahiran dalam bidang mekanisasi ladang dengan menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan Tahap 3.

Kementerian itu menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Bakri Jamaluddin [PN-Tangga Batu] di Dewan Rakyat, hari ini.

Bakri dalam soalannya meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan sejauh mana keberkesanan program Malaysian Palm Oil Training Centre (PLASMA) dalam menyediakan tenaga kerja untuk industri perladangan sawit negara.

Menurut kementerian lagi, sehingga Disember 2022, PLASMA telah melatih 2,276 orang dan sebanyak 3,510 sijil telah dikeluarkan.

Katanya, seramai 1,256 orang pelatih daripada 2,276 jumlah pelatih telah bekerja dalam industri sawit iaitu 55 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Dari 1,256 orang, seramai 1,140 orang bekerja dalam syarikat perladangan manakala 116 orang pelatih bekerja sendiri dalam perladangan sawit.

“MPOB kini giat memperkasakan penggunaan mekanisasi dengan mencipta teknologi baru dan adanya program KOML, dapat menyediakan graduan yang mahir dalam penggunaan mekanisasi ladang dan secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada industri.

“Dengan memperluaskan penggunaan mekanisasi, ianya juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing walaupun tidak secara menyeluruh,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 21/3/2023

- Advertisement -