20,000 hektar guna sumber air tanpa kebenaran

Datuk Azami Mohd Nor
- Advertisement -

KOTA BHARU: Sejumlah 20,000 hektar tanah pertanian di jajahan kecil lojing di Gua Musang menggunakan bekalan sumber air tanpa kebenaran dari Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan (JSANK), kata Pengerusi Jawatankuasa Kerjaya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri Kelantan Datuk Azami Mohd Nor.

- Advertisement -

Beliau berkata bagi mengatasi perkara itu pihaknya telah merangka dan mengatur strategi bagi pelesenan semua pekebun melalui Lesen Sementara Abtraksi Sumber Air yang diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan kali ke-21 pada 19 Okt tahun lalu.

Katanya, masalah pengambilan sumber air tanpa kawalan yang berlaku kini hanya boleh dikawal melalui pelesenan dan penguatkuasaan oleh jabatan kerajaan.

“JSANK diberi mandat sebagaimana di dalam Enakmen Sumber Air Negeri Kelantan 2019 untuk menjalankan penguatkuasaan Lesen Abtraksi Badan Air bagi semua pengguna sumber air khususnya di tanah tinggi Lojing.

“Semakan jabatan mendapati di tanah tinggi Lojing terdapat beratus-ratus pengusaha kebun sayur telah menggunakan sumber air untuk kegunaan pertanian komersial tanpa lesen yang sah dan belum pernah dikenakan apa-apa bayaran berdasarkan mana-mana enakmen yang berkuat kuasa berkaitan dengan penggunaan air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, hari ini.

Mengulas lanjut, Azami berkata sehingga kini, pihak JSANK telah meluluskan empat lesen sementara dan telah melaksanakan penguatkuasaan bersepadu untuk membendung masalah ini.

Katanya, penguatkuasaan tersebut merangkumi pematuhan kepada Penilaian Alam Sekitar (EIA), Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESMP) dan Kebenaran Merancang Pertanian.

“Jabatan juga telah mengadakan sesi libat urus dengan pemilik tanah yang juga merupakan agensi kerajaan bagi memudahkan proses pelesenan secara berfasa.

“Melalui pelesenan dan penguatkuasaan, pengurusan sumber air dapat dilaksanakan secara lestari dan mengurangkan impak kepada alam sekitar,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -