Sultan Kedah harap pusat pertimbang projek KXP

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar mengharapkan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) mendapat pertimbangan sewajarnya khususnya daripada Kerajaan Persekutuan.

- Advertisement -

Titah baginda KXP merupakan projek berimpak tinggi yang bakal merancakkan pembangunan ekonomi bukan sahaja di negeri malah ke Wilayah Utara.

Menurut baginda, perancangan untuk membangunkan projek KXP telah bermula sejak 2013 yang mana dalam tempoh tersebut, sebanyak lima kajian kebolehlaksanaan telah dijalankan.

Baginda bertitah, berdasarkan kepada kajian-kajian tersebut, pembangunan KXP bakal menjadi Economic Game Changer kepada negeri Kedah dan berfungsi sebagai pelengkap kepada lapangan terbang sedia ada di utara tanah air melalui penyediaan perkhidmatan kargo yang lebih komprehensif dan disokong dengan pembangunan hab Maintenance, Repair and Operation (MRO).

“Beta mengharapkan projek ini wajar dipertimbangkan kerana perancangan untuk membangunkannya telah dimulakan sejak 15 tahun lalu,” titah baginda semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Turut berangkat Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff.

Baginda juga berpuas hati dengan kejayaan negeri menarik pelaburan tinggi RM13.1 billion pada 2022 termasuk RM12 billion di sektor pembuatan yang merupakan tertinggi dalam negara.

“Ini merupakan satu bukti bahawa kerajaan negeri bersungguh-sungguh dalam menjalankan usaha meningkatkan taraf ekonomi negeri malah mampu menyediakan 6,072 peluang pekerjaan,” titah baginda.

Dalam masa yang sama, titah baginda usaha giat kerajaan negeri melaksanakan transformasi digital dalam penyampaian maklumat merupakan satu langkah yang tepat kerana ia mampu menyokong kemasukan pelaburan melalui birokrasi yang cekap dan efisien. – HARAKAHDAILY 12/3/2023

- Advertisement -