Lelaki pasang Jalur Gemilang terbalik direman

Jalur Gemilang
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes sebuah premis perindustrian di Senai, di sini yang didakwa memasang Jalur Gemilang dan bendera negeri Johor secara terbalik.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata lelaki berusia 45 tahun itu menyerah diri di Balai Polis Senai pada 11.30 malam tadi.

“Lelaki tempatan itu telah dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 1963 (Penggunaan Tidak Wajar) / Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tular di media sosial sejak Sabtu lepas yang memaparkan sebuah kilang memasang bendera jalur gemilang dan bendera Johor dalam keadaan terbalik di Jalan Seelong, Senai.

Gambar tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat setempat. – BERNAMA

- Advertisement -