Menelusuri kisah agung surah al-Kahfi (7)

- Advertisement -

KAYA? Jangan lupa diri.

- Advertisement -

۞ وَٱضْرِبْ لَهُم مَّثَلًۭا رَّجُلَيْنِ جَعَلْنَا لِأَحَدِهِمَا جَنَّتَيْنِ مِنْ أَعْنَـٰبٍۢ وَحَفَفْنَـٰهُمَا بِنَخْلٍۢ وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمَا زَرْعًۭا (٣٢)

“Dan berikanlah kepada mereka satu perumpamaan dua orang lelaki, Kami jadikan bagi seorang di antara keduanya (yang kafir) dua buah kebun anggur dan Kami kelilingi kedua kebun itu dengan pohon-pohon kurma dan di antara kedua kebun itu Kami buatkan ladang.” (32)

كِلْتَا ٱلْجَنَّتَيْنِ ءَاتَتْ أُكُلَهَا وَلَمْ تَظْلِم مِّنْهُ شَيْـًۭٔا ۚ وَفَجَّرْنَا خِلَـٰلَهُمَا نَهَرًۭا (٣٣(

“Kedua buah kebun itu menghasilkan buahnya dan kebun itu tiada kurang buahnya sedikit pun dan Kami alirkan sungai di celah-celah kedua kebun itu.” (33)

Betapa istimewanya kebun ini. Ianya subur dan ada sungai yang boleh digunakan untuk menyirami atau mengairinya. 

وَكَانَ لَهُۥ ثَمَرٌۭ فَقَالَ لِصَـٰحِبِهِۦ وَهُوَ يُحَاوِرُهُۥٓ أَنَا۠ أَكْثَرُ مِنكَ مَالًۭا وَأَعَزُّ نَفَرًۭا (٣٤)

“Dan dia memiliki kekayaan yang besar, maka dia berkata kepada kawannya (yang beriman) ketika dia berbincang dengannya: “Hartaku lebih banyak daripada hartamu dan pengikut-pengikutku lebih kuat.”” (34)

Dia (yang kafir) berasa bangga dengan kekayaan yang dia miliki sehingga dia boleh berkata sedemikian kepada kawannya (yang beriman). 

وَدَخَلَ جَنَّتَهُۥ وَهُوَ ظَالِمٌۭ لِّنَفْسِهِۦ قَالَ مَآ أَظُنُّ أَن تَبِيدَ هَـٰذِهِۦٓ أَبَدًۭا (٣٥(

“Dan dia memasuki kebunnya, sedang dia zalim terhadap dirinya sendiri; dia berkata: “Aku kira kebun ini tidak akan binasa selama-lamanya.”” (35)

Dia membawa masuk kawannya ke dalam kebunnya dalam keadaan bangga. Dia tidak berfikir bahawa kebunnya akan rosak atau musnah tetapi kekal sampai bila-bila dan membuahkan hasil yang lumayan dan berterusan. 

وَمَآ أَظُنُّ ٱلسَّاعَةَ قَآئِمَةًۭ وَلَئِن رُّدِدتُّ إِلَىٰ رَبِّى لَأَجِدَنَّ خَيْرًۭا مِّنْهَا مُنقَلَبًۭا (٣٦(

“Dan aku tidak mengira hari kiamat itu akan datang dan jika sekiranya aku dikembalikan kepada Tuhanku, pasti aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada kebun-kebun itu.” (36)

Dia tidak mempercayai hari kiamat. Dia ialah seorang yang kaya namun tidak beriman. Dia tidak berasa apa-apa kerana kebunnya membuahkan hasil yang lumayan. 

قَالَ لَهُۥ صَاحِبُهُۥ وَهُوَ يُحَاوِرُهُۥٓ أَكَفَرْتَ بِٱلَّذِى خَلَقَكَ مِن تُرَابٍۢ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍۢ ثُمَّ سَوَّىٰكَ رَجُلًۭا (٣٧(

“Kawannya (yang mukmin) berkata kepadanya sambil bercakap-cakap dengannya: “Apakah kamu kafir kepada (Tuhan) yang menciptakan kamu daripada tanah, kemudian daripada setitis air mani, lalu Dia menjadikan kamu seorang lelaki yang sempurna?“” (37)

Air mani berasal daripada tanah. Kesemua zat-zat makanan diproses menjadi mani. Air mani yang bercantum di dalam rahim wanita membentuk janin sehingga melahirkan seorang manusia. Apabila kita memakan makanan sihat, maka benih kita menjadi subur. Ayat ini menunjukkan bahawa kawannya (yang mukmin) mengungkit kembali asal-usul kejadian manusia supaya dia mengingatinya. 

لَّـٰكِنَّا۠ هُوَ ٱللَّهُ رَبِّى وَلَآ أُشْرِكُ بِرَبِّىٓ أَحَدًۭا (٣٨(

“Tetapi aku (percaya bahawa), Dialah Allah, Tuhanku dan aku tidak mempersekutukan seseorang pun dengan Tuhanku.” (38)

Kawannya (yang mukmin) mempercayai Tuhan sebab dia mengetahui bahawa dia diciptakan oleh Allah S.W.T. Dalam satu Hadis, Nabi ajarkan kepada kita sekiranya kita berada dalam keadaan bimbang dengan musuh atau takut dengan orang yang ada niat jahat, bacalah dengan doa seperti berikut: 

أَللَّهُ ‏ ‏أَللَّهُ رَبِّي لَا أُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا

Menurut Asmak binti Umais, Rasulullah S.A.W berkata kepadanya yang bermaksud: 

“Mahukah kamu aku ajarkan kalimah-kalimah yang boleh kamu ucapkan Ketika dilanda kegelisahan? Bacalah: ‘Allahu robbi laa usyriku bihi syaian’ (Ya Allah Tuhanku tidak akan aku sekutukan-Nya dengan sesuatu pun) 

(Hadis Riwayat Abu Daud)

وَلَوْلَآ إِذْ دَخَلْتَ جَنَّتَكَ قُلْتَ مَا شَآءَ ٱللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّهِ ۚ إِن تَرَنِ أَنَا۠ أَقَلَّ مِنكَ مَالًۭا وَوَلَدًۭا (٣٩)

“Dan mengapa kamu tidak mengucapkan tatkala kamu memasuki kebunmu: “Masya Allah, la quwwata illa billah” (Sesungguhnya atas kehendak Allah, semua ini terwujud, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah). Sekiranya kamu anggap aku kurang sedikit daripadamu dalam hal harta dan keturunan.” (39)

فَعَسَىٰ رَبِّىٓ أَن يُؤْتِيَنِ خَيْرًۭا مِّن جَنَّتِكَ وَيُرْسِلَ عَلَيْهَا حُسْبَانًۭا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ فَتُصْبِحَ صَعِيدًۭا زَلَقًا (٤٠)

“Maka mudah-mudahan Tuhanku akan memberi kepadaku (kebun) yang lebih baik daripada kebunmu (ini); dan mudah-mudahan Dia mengirimkan ketentuan (petir) dari langit kepada kebunmu, hingga (kebun itu) menjadi tanah yang licin.” (40)

أَوْ يُصْبِحَ مَآؤُهَا غَوْرًۭا فَلَن تَسْتَطِيعَ لَهُۥ طَلَبًۭا (٤١)

“Atau airnya menjadi surut ke dalam tanah, maka sekali-kali kamu tidak dapat menemukannya lagi.” (41)

Alangkah baiknya jika tatkala dia (yang kafir) memasuki kebunnya, dia menyebut Masya Allah; semua ini adalah kurniaan daripada Tuhan. Mudah-mudahan Allah akan memberikan yang lebih baik kepada kawannya. Inilah peringatan daripada kawannya agar dia tidak lupa diri kerana berkemungkinan boleh berlaku kemarau atau air menjadi tidak bersih. 

Sebagai contoh, kita berjaya dan mendapat keputusan yang cemerlang dalam pelajaran, betul kalau nak kata berjaya disebabkan oleh usaha, namun sekiranya Allah tidak mengizinkannya, maka ia tidak akan terjadi. Usaha tetap perlu ada tetapi kuasa Allah adalah penentu. 

Dalam satu Hadis, Nabi ajarkan kepada kita sekiranya kita melihat kepada sesuatu yang kita sukai atau kagum dengannya, sebutlah Masya Allah, la quwwata illa billah (Apa yang Allah kehendaki, tiada kudrat melainkan milik Allah [2]). Menurut ulamak, doa ini dapat melindungi harta benda kita daripada bencana. Sebab pada zaman dahulu, dalam kalangan orang Arab, ada penyakit ‘ain. Ada orang yang diberikan kelebihan oleh Allah, misalnya apabila dia melihat orang lain, orang itu akan jatuh sakit. 

وَأُحِيطَ بِثَمَرِهِۦ فَأَصْبَحَ يُقَلِّبُ كَفَّيْهِ عَلَىٰ مَآ أَنفَقَ فِيهَا وَهِىَ خَاوِيَةٌ عَلَىٰ عُرُوشِهَا وَيَقُولُ يَـٰلَيْتَنِى لَمْ أُشْرِكْ بِرَبِّىٓ أَحَدًۭا (٤٢)

“Dan harta kekayaannya dibinasakan, lalu dia membalik-balikkan kedua tangannya (tanda menyesal) terhadap apa yang telah dia belanjakan untuk itu, sedang pohon anggur itu roboh bersama para-paranya dan berkata: “Aduhai, kiranya dahulu aku tidak mempersekutukan seorang pun dengan Tuhanku.”” (42)

Allah menunjukkan kekuasaan-Nya, pada suatu malam, kebunnya terbakar. Entah datang dari mana apinya. Ia menyambar kesemua pepohon hijau, habis musnah tanaman dan ternakannya. Lalu, dia pun berasa menyesal. 

Allah tidak menyukai orang yang bangga diri atau takabbur. Sebab ia hanya boleh dimiliki oleh-Nya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: 

“Kesombongan adalah selendang-Ku dan kebesaran adalah sarung-Ku. Maka barangsiapa menyamai-Ku, satu daripada keduanya, maka pasti Ku lemparkan ia ke dalam neraka jahanam dan tidak Ku pedulikan lagi.” (Hadis Qudsi) [3]

Tidak memadai bagi kita untuk bersifat takabbur kerana hidup kita perlu bergantung dengan orang lain. Ia hanya berhak bagi-Nya kerana Dia yang menciptakan langit, bumi dan makhluk termasuk kita serta Dia tidak memerlukan sesiapa pun malah tidak makan dan tidak minum. 

وَلَمْ تَكُن لَّهُۥ فِئَةٌۭ يَنصُرُونَهُۥ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَمَا كَانَ مُنتَصِرًا (٤٣(

“Dan tidak ada lagi bagi dia segolongan pun yang akan menolongnya selain Allah; dan sekali-kali dia tidak akan dapat membela dirinya.” (43)

Apabila api datang, tiadalah dapat berbuat apa-apa. Walaupun ada yang kata tidak mengapa kerana ada bomba. Kebanyakan situasi adalah apabila bomba tiba, semua sudah pun musnah kerana ia merupakan ketentuan-Nya. 

Maka, kita perlu bersyukur dengan pemberian-Nya tidak kira sama ada sedikit mahupun banyak. Antara cara untuk bersyukur menurut ulamak adalah dengan menunaikan zakat, bersedekah dan sebagainya. Zakat yang perlu ditunaikan cuma dua perpuluhan lima peratus. Ia sebagai tanda kita berterima kasih kepada-Nya, membersihkan harta, memperoleh pahala dan membantu orang yang berada dalam kesusahan. 

Oleh itu, kita mestilah sentiasa berada dekat dengan Allah dan mengingati-Nya. Sebab bencana boleh hadir melalui pelbagai cara. Nabi berpesan kepada kita agar meminta perlindungan dari empat perkara dengan berdoa seperti berikut: 

اللّٰهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُبِكَ مِنْ جَهْدِ الْبَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوْءِ الْقَضَاءِ، وَشَمَاتَةِ الْأَعْدَاءِ

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari susahnya bala’ (bencana), tertimpa kesengsaraan, keburukan qadha’ (takdir) dan kegembiraan para musuh.”

 (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) [4]

Allah sebaik-baik penolong

هُنَالِكَ ٱلْوَلَـٰيَةُ لِلَّهِ ٱلْحَقِّ ۚ هُوَ خَيْرٌۭ ثَوَابًۭا وَخَيْرٌ عُقْبًۭا (٤٤)

“Di sana, pertolongan itu hanya daripada Allah Yang Maha Hak. Dia adalah sebaik-baik pemberi pahala dan sebaik-baik pemberi balasan.” (44)

Apabila betul-betul susah, hanya Allah yang mampu menolong kita. Begitu juga dengan orang kafir, walaupun dia menyembah berhala tetapi tetap meminta daripada Tuhan apabila terdesak. Sebab dia mengetahui bahawa berhalanya tidak mampu berbuat apa-apa. 

Betapa istimewanya Islam kerana hubungan kita ‘direct’ terus dengan Allah tanpa perlu melalui apa-apa perantaraan seperti patung, kena menjamu makan dan sebagainya. Bahkan sebahagian ulamak ada menyebut bahawa sesiapa yang terus bangun selepas selesai menunaikan solat tanpa menadah tangan berdoa atau beristighfar, orang itu dianggap sebagai orang yang kedekut. 

Tamsilan mengenai kehidupan dunia

وَٱضْرِبْ لَهُم مَّثَلَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا كَمَآءٍ أَنزَلْنَـٰهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ فَٱخْتَلَطَ بِهِۦ نَبَاتُ ٱلْأَرْضِ فَأَصْبَحَ هَشِيمًۭا تَذْرُوهُ ٱلرِّيَـٰحُ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ مُّقْتَدِرًا (٤٥)

“Dan berilah perumpamaan kepada mereka (manusia), kehidupan dunia adalah sebagai air hujan yang Kami turunkan dari langit, maka tumbuh-tumbuhan di muka bumi menjadi subur kerananya, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering lalu diterbangkan oleh angin. Dan adalah Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (45)

Dalam ayat ini, Allah membuat perbandingan mengenai kehidupan dunia. Dalam dunia ini, tiada yang kekal dan akan musnah apabila tiba masanya. Kita juga begitu, awal dahulu muda kemudian lama-lama semakin tua dan lemah. Itulah lumrah kehidupan. 

ٱلْمَالُ وَٱلْبَنُونَ زِينَةُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَٱلْبَـٰقِيَـٰتُ ٱلصَّـٰلِحَـٰتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًۭا وَخَيْرٌ أَمَلًۭا (٤٦)

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia, tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.” (46)

Harta dan anak-anak yang merupakan perhiasan dunia adalah untuk membahagiakan kita tetapi jangan sampai kita lupa diri. Sebab ia tidak akan dapat membantu kita di akhirat nanti kecuali yang kita sedekahkan, zakat, belanja dan amalan baik. 

Di akhirat, masing-masing membawa diri dan tidak mempedulikan orang lain. Menurut ulamak, suasananya adalah seperti keadaan apabila rumah kita terbakar. Setelah kita terjun menyelamatkan diri, barulah kita akan sedar akan ahli keluarga kita. Di Padang Mahsyar, kita akan dibangkitkan dalam keadaan yang tidak berpakaian. Dari ‘Aisyah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: 

يُحْشَرُ النَّاسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حُفَاةً عُرَاةً غُرْلاً

“Manusia akan dikumpulkan pada hari Kiamat dalam keadaan tidak beralas kaki, tidak berpakaian dan belum dikhitan.”

(Hadis Riwayat Muslim no. 5102)

وَيَوْمَ نُسَيِّرُ ٱلْجِبَالَ وَتَرَى ٱلْأَرْضَ بَارِزَةًۭ وَحَشَرْنَـٰهُمْ فَلَمْ نُغَادِرْ مِنْهُمْ أَحَدًۭا (٤٧)

“Dan (ingatlah) pada hari (ketika) Kami perjalankan gunung-gunung dan kamu akan melihat bumi itu rata dan Kami kumpulkan seluruh manusia dan tidak Kami tinggalkan seorang pun daripada mereka.” (47)

Situasi tersebut seolah-olah seperti apa yang berlaku di Acheh selepas kejadian tsunami. Begitu jugalah esok-esok, apabila kiamat berlaku sepenuhnya. 

Kehidupan akhirat yang menginsafkan

وَعُرِضُوا۟ عَلَىٰ رَبِّكَ صَفًّۭا لَّقَدْ جِئْتُمُونَا كَمَا خَلَقْنَـٰكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍۭ ۚ بَلْ زَعَمْتُمْ أَلَّن نَّجْعَلَ لَكُم مَّوْعِدًۭا (٤٨)

“Dan mereka akan dibawa ke hadapan Tuhanmu dengan berbaris. (Allah berfirman: Sesungguhnya kamu datang kepada Kami, sebagaimana Kami menciptakan kamu pada kali yang pertama; bahkan kamu mengatakan bahawa Kami sekali-kali tidak akan menetapkan bagi kamu waktu (memenuhi) perjanjian.” (48)

Di akhirat nanti, semua akan dibangkitkan dan seorang demi seorang akan menghadap Allah sambil membawa kitab amalan. Di hadapan Allah, kitab amalan kita semua akan dibuka. Tiada seorang pun yang dapat menolong kita pada ketika itu kerana masing-masing pun berasa takut. Inilah amaran yang diberikan agar kita sentiasa beringat. 

Peliknya, konsert Black Pink di Bukit Jalil dengan kehadiran seramai 60,000 peserta diteruskan, namun kuliah Ustaz Azhar Idrus di Selangor pula dibatalkan. Kita bukan anti hiburan, hiburan dibenarkan dalam Islam tetapi cara kita berhibur itu bagaimana. Nak dengar lagu boleh tetapi lagu yang macam mana. Dengar lagu satu hal, terkinja-kinja dalam Tiktok pula satu hal lagi. Apabila hilang malu, maka terjejaslah iman. 

وَوُضِعَ ٱلْكِتَـٰبُ فَتَرَى ٱلْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَـٰوَيْلَتَنَا مَالِ هَـٰذَا ٱلْكِتَـٰبِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةًۭ وَلَا كَبِيرَةً إِلَّآ أَحْصَىٰهَا ۚ وَوَجَدُوا۟ مَا عَمِلُوا۟ حَاضِرًۭا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًۭا (٤٩)

“Dan diletakkan kitab; lalu kamu akan melihat orang yang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya dan mereka berkata: “Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis). Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang jua pun.” (49)

Tiada apa yang dapat disembunyikan di akhirat. Walaupun di dunia, kita boleh menyembunyikan perkara-perkara jahat yang telah kita lakukan. Tetapi di akhirat, segalanya akan ditunjukkan melainkan jika kita bertaubat dan memohon ampun daripada-Nya. 

Apa-apa sahaja yang kita lakukan akan ditulis di dalam buku amalan. Ada malaikat Raqib dan ‘Atid yang sentiasa mengikuti kita dan mencatat. Ia seperti ‘Special Branch’ (SB) yang mengawal keselamatan pimpinan politik atau wakil rakyat. 

Nabi ajarkan kepada kita beberapa amalan yang mudah untuk kita lakukan, antaranya adalah:

1. Istighfar.

Sentiasalah beristighfar sekurang-kurangnya selepas solat. Dalam satu Hadis, Nabi menyebut sesiapa yang beristighfar sebanyak tiga kali, dosanya akan diampunkan oleh Allah. 

Daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: 

مَنْ قال صَبيحَةَ يَوْمِ الجُمُعَةِ قَبْلَ صَلاةَ الغَدَاةِ: أسْتَغْفِرُ اللهَ الذِي لا إلهَ إلَّا هُوَ الحَيَ القَيومَ وأتُوبُ إلَيْهِ ثلَاثَ مَرَات، غَفَرَ اللهُ تعالى ذُنوبَهُ ولو كانتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ

“Barangsiapa yang beristighfar pada pagi hari Jumaat sebelum menunaikan solat pagi. Dengan mengatakan “Aku memohon ampun kepada Allah, Tiada Tuhan melainkan-Nya, yang Maha Hidup, Maha Kekal Mentadbir dan aku bertaubat kepada-Nya” sebanyak tiga kali. Maka Allah Taala akan mengampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.

(Hadis Riwayat Ibn al-Sunni no.83)

2. Ayat Kursi.

Kemudian, bacalah ayat Kursi kerana ia merupakan suatu jaminan untuk memasuki syurga. 

Daripada Abi Umamah R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda: 

مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ، إِلَّا الْمَوْتُ

“Barangsiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap selepas kali solat fardhu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati.

(Hadis Riwayat al-Thabarani di dalam Mu’jam al-Kabir no. 7532 dan Riwayat al-Nasa’ie di dalam Sunan al-Kubra no. 9848)

3. Tasbih.

Bacalah Subhanallahi Wa Bihamdihi, ‘Adada Khalqihi, Wa Rida Nafsihi, Wa Zinata ‘Arsyihi, Wa Midada Kalimatih. Nabi melihat isterinya yang bernama Juwairiyah sedang berzikir selepas menunaikan solat Subuh dalam tempoh yang lama. Nabi mengingatkannya supaya membacanya sebanyak tiga kali kerana itu sudah pun memadai dengan apa yang isterinya lakukan. 

Juwairiyah meriwayatkan, “Rasulullah S.A.W datang ke rumahku ketika aku sedang solat dan berzikir di suatu pagi, waktu fajar. Kemudian Baginda pergi semula menyelesaikan urusannya. Di waktu Dhuha Rasulullah S.A.W datang semula dan mendapati aku masih duduk di situ. Baginda bertanya yang bermaksud: 

“Apakah kamu masih duduk mengerjakan solat dari aku meninggalkan kamu tadi?”

Lalu aku menjawab, “Ya.”

Terus Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya: 

“Sungguh!, aku telah membaca empat kalimat ini sebanyak tiga kali selepas aku meninggalkan kamu. Kalau ditimbang berat zikir ini, nescaya sama beratnya dengan berat timbangan ibadah yang kamu lakukan.”

سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ: عَدَدَ خَلْقِهِ، وَرِضَا نَفْسِهِ، وَزِنَةَ عَرْشِهِ، وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ

“Maha Suci Allah. Aku memuji-Nya sebanyak bilangan makhluk-Nya, menurut keredaan-Nya, seberat timbangan ‘Arasy-Nya dan sebanyak dakwat tulisan kalimat-Nya.”

 (Hadis Riwayat Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah) 

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 6 Mac 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 10/3/2023

Rujukan: 

[1]Hadis Riwayat Abu Daud (no. Hadis 1525).
[2]Hadis Riwayat al-Tabarani (no. Hadis 4393).
[3]Hadis Riwayat Imam Abu Daud (no. Hadis 4090).
[4] Hadis Riwayat Bukhari (no.Hadis 6347), dan Muslim (no. Hadis 2707).

- Advertisement -