Kenyataan media TS Muhyiddin selepas lebih 8 jam siasatan

- Advertisement -

SAYA datang pagi tadi untuk membolehkan SPRM merakam percakapan tambahan saya. Saya hadir tanpa paksaan untuk membantu siasatan walaupun pada saya ini satu penindasan politik dan penganiayaan terhadap saya dan BERSATU. 

SPRM membangkitkan 2 perkara iaitu:  

a) Projek Janawibawa.  
b) Rayuan pembatalan cukai oleh TS Syed Mokhtar.  

Janawibawa 

Janawibawa adalah projek semasa Pandemik COVID-19 untuk membangunkan semula ekonomi negara khususnya untuk menyelamatkan kontraktor bumiputera yang akan jatuh bankrap. Sedihnya, ini dijadikan modal politik seolah-olah ini satu skim untuk mencuri wang negara.

Itulah  sebabnya jumlah yang dituduh berubah-ubah dari RM600 bilion ke RM530 bilion kemudian turun mendadak ke RM92.5 bilion, turun lagi ke RM4.5 bilion dan akhirnya RM300 juta. Menggunakan fitnah ini, SPRM membekukan akaun bank BERSATU untuk menghancurkan BERSATU. Inilah jahatnya fitnah. 

SPRM seharusnya mengetahui dari semua keterangan yang diambil bahawa tidak berlaku sebarang salah guna kuasa atau perbuatan merasuah. Amatlah malang jika wang dalam akaun BERSATU yang merupakan dana politik dianggap sebagai suapan.

Saya telah menegaskan bahawa saya tidak melakukan apa-apa kesalahan di bawah undang-undang. Saya bukan pihak yang mempunyai kuasa untuk meluluskan sebarang projek kerajaan. Kuasa melulus adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan. Saya sekadar melaksanakan keputusan Kabinet yang menghendaki Pejabat Perdana Menteri memanjangkan permohonan projek untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan mengikut syarat dan peraturan yang berkuat kuasa. 

Saya tidak pernah memberi arahan atau mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan.

Saya juga tidak pernah berjumpa dengan kontraktor-kontraktor yang mendapat projek dan tidak pernah menerima wang daripada mereka. SPRM tidak menjumpai sebarang bukti bahawa saya telah menerima wang. 

Jadi, bagaimana saya boleh menyalahgunakan kuasa? 

Rayuan pembatalan cukai 

 Perkara kedua ialah rayuan pembatalan cukai daripada Yayasan Al-Bukhary yang dinaungi oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Tan Sri Syed Mokhtar adalah kawan baik saya yang saya telah kenal lebih 30 tahun lalu. Beliau adalah seorang hartawan dan dermawan Melayu yang terkenal yang akrab dengan saya.

Inilah faktanya:

a) Yayasan Al-Bukhary menjalankan kerja-kerja amal dan kebajikan khususnya membangunkan Islam dan membantu umat Islam.
b) Atas semua itu, Yayasan ini diberikan kelulusan pengecualian cukai oleh Kerajaan BN sebelum ini.
c) Selepas PRU14, kerajaan gabungan PH tertubuh. Menteri Kewangan dari DAP Lim Guan Eng telah membatalkan pengecualian yang telah pun diluluskan kepada Yayasan Al-Bukhary.
d) Semasa saya menjadi Perdana Menteri, Tan Sri Syed Mokhtar telah membuat rayuan atas pembatalan tersebut.
e) Saya telah meminitkan – “Sila teliti rayuan ini. Sekiranya teratur, saya tiada bantahan”.
f) Rayuan ini telah dipertimbangkan oleh MOF dan LHDN dan kemudiannya diluluskan.
g) Oleh sebab minit saya tersebut, saya kini didakwa menyalahgunakan kuasa.

Jika ada sumbangan dari Tan Sri Syed Mokhtar, ia adalah sumbangan politik yang dimasukkan terus ke akaun BERSATU, bukan ke akaun saya. Satu sen pun daripada sumbangan tersebut tidak diberikan kepada saya untuk kegunaan saya.

Saya tahu Tan Sri Syed Mokhtar ada memberikan sumbangan kewangan kepada parti-parti politik selama berpuluh tahun. Ini termasuk parti-parti politik pemerintah. Jika Tan Sri Syed Mokhtar juga ingin memberikan sumbangan kepada BERSATU sebagai parti yang memperjuangkan dasar-dasar yang baik untuk orang Melayu dan negara, di mana salahnya?

Saya tidak pernah memberi arahan atau mempengaruhi Kementerian Kewangan supaya meluluskan rayuan tersebut.

Saya telah jelaskan semua ini kepada pegawai penyiasat SPRM. Dalam keadaan biasa, tiada asas untuk mendakwa saya di bawah mana-mana undang-undang.

Tetapi telah ada arahan daripada pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara supaya saya didakwa. Jadi, walau apapun penjelasan yang saya berikan, saya tetap akan didakwa.

Kesimpulan

Dari dua perkara yang saya sebut tadi, mereka telah mengembangkannya menjadi 7 pertuduhan ke atas saya. Tujuannya adalah untuk memalukaan saya dengan mengheret saya ke mahkamah esok.

Pendakwaan terpilih ke atas saya ini adalah satu tindakan politik berniat jahat yang dilakukan oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, semata-mata untuk melumpuhkan dan menghancurkan BERSATU dan PERIKATAN NASIONAL.

Anwar Ibrahim tahu bahawa PERIKATAN NASIONAL mendapat sokongan padu daripada rakyat terutamanya orang Melayu dan Bumiputera dan akan menang besar dalam enam pilihan raya negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.

Saya yakin dan percaya, dengan izin Allah S.W.T jua, Anwar, Pakatan Harapan dan parti-parti yang bersekongkol dengannya, akan dihukum oleh rakyat dalam pilihan raya.

Saya menegaskan bahawa saya tidak bersalah dan saya akan jawab segala pertuduhan terhadap saya di mahkamah.

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
Pengerusi PERIKATAN NASIONAL
Presiden BERSATU – HARAKAHDAILY 9/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -