Rumah fleksibel untuk orang bujang Selangor

- Advertisement -

REACH ingin membuat cadangan balas terhadap cadangan Kerajaan Negeri Selangor untuk memperkenalkan rumah 1 bilik berkeluasan 450 kaki persegi untuk dijual kepada orang bujang dengan harga RM114,750.

Rumah tersebut perlu dijual semula kepada kerajaan apabila mereka berkahwin dan kemudian akan dijual kepada orang bujang yang lain.

REACH mencadangkan satu rekabentuk rumah yang baharu dihasilkan dengan 3 bilik berkeluasan 800 kaki persegi tetapi hanya 1 bilik digunakan oleh pemilik dan 2 bilik boleh disewakan.

Dengan rumah seperti ini orang bujang atau mereka yang baru berkahwin boleh membeli rumah 3 bilik tetapi tidak dibebankan dengan bayaran bulanan yang tinggi untuk pinjaman perumahan.

Sebahagian dari bayaran bulanan mereka akan ditanggung oleh sewa yang diterima.

Tetapi rumah ini perlu direkabentuk agar kehidupan seharian pemilik tidak terganggu dengan kehadiran penyewa-penyewa tersebut.

Justeru rumah tersebut memiliki dua pintu masuk yang berasingan (dual entrance) untuk memastikan privasi dan keselamatan pemilik sekeluarga terjamin.

Penyewa-penyewa juga perlu disediakan dengan kemudahan-kemudahan seperti dapur, bilik mandi dan tandas yang berasingan.

Rumah ini akan terus dimiliki oleh pembeli dan apabila pendapatan mereka meningkat atau bilangan keluarga mereka bertambah, mereka boleh berhenti menyewakan bilik-bilik dan menggunakannya sendiri.

Apabila anak-anak mereka telah dewasa dan berpindah ke rumah sendiri, pemilik tidak memerlukan kesemua bilik-bilik dan boleh menyewakannya semula untuk pendapatan tambahan.

Oleh yang demikian, rumah ini fleksibel (anjal) kerana boleh menjadi dua rumah dengan 1 bilik dan 2 bilik atau satu rumah dengan 3 bilik.

Walau bagaimanapun program ini hanya akan berjaya jika kerajaan membantu pembeli untuk mendapatkan pinjaman bank kerana pendapatan mereka mungkin tidak melayakkan mereka membeli rumah 3 bilik kerana faktor harga.

Kerajaan negeri atau syarikat kerajaan negeri perlu menjadi penjamin agar pembeli-pembeli ini mendapat pinjaman perumahan.

Rumah fleksibel ini boleh dijadikan sebahagian dari program perumahan untuk orang bujang atau pasangan muda selain dari rumah 1 bilik yang dicadangkan oleh kerajaan negeri.

Walau bagaimanapun kelebihan rumah fleksibel ini adalah pembeli tidak perlu menjual rumah mereka dan mencari rumah lain apabila mereka berkahwin.

Konsep rumah fleksibel ini bukan satu yang asing tetapi telah wujud walau bagaimanapun bukan untuk perumahan mampu milik.

Konsep menyewakan bilik-bilik di rumah untuk pendapatan tambahan telah juga lama dilaksanakan di dalam masyarakat.

Cabarannya adalah untuk menjadikan konsep ini mampu milik terutamanya bagi mereka yang baharu memasuki alam pekerjaan.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)
8 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 8/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -