Mangsa cecah 5,000: Iran tahan suspek racun murid

Sebuah kenderaan polis Iran dilihat dirakam di Tehran. Iran. (FOTO FAIL: AFP)
- Advertisement -

TEHRAN: Kerajaan Iran mengumumkan bahawa ia telah membuat penahanan pertama suspek siri keracunan misteri murid sekolah di negara itu yang telah menjejaskan lebih 5,000 mangsa sejak akhir Nov lalu.

Kementerian dalam negeri Iran berkata dalam satu kenyataan pada Selasa (7 Mac), waktu tempatan,  bahawa ‘sebilangan individu’ yang disyaki menghasilkan bahan (racun) berbahaya telah ditangkap di enam wilayah, termasuk ibu bapa seorang murid.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Dalam Negeri Iran, Majid Mirahmadi, memberitahu siaran televisyen negara  itu awal Selasa bahawa agensi perisikannya telah membuat beberapa tangkapan, dan agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan penuh, lapor Arab News.

Menurut kenyataan kementerian tersebut lagi, tangkapan telah dibuat di wilayah Khuzestan, Azerbaijan Barat, Fars, Kermanshah, Khorasan dan Alborz.

Salah seorang daripada mereka yang ditangkap telah didakwa menggunakan anak mereka  sendiri untuk memasukkan ‘bahan yang merengsa (pernafasan)’ ke dalam sekolah, dan kemudian merakam video pelajar yang sakit yang dihantar ke ‘media yang bermusuhan (dengan kerajaan)’ untuk ‘mencipta ketakutan… dan menutup sekolah’,” ujar kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu,  tiga suspek yang  itahan mempunyai rekod jenayah termasuk ‘penglibatan dalam rusuhan baru-baru ini’ – istilah yang digunakan oleh pihak berkuasa Iran untuk menggambarkan protes yang dicetuskan oleh kematian Mahsa Amini dalam tahanan.

Amini, 22, telah ditahan atas dakwaan melanggar peraturan ketat pakaian wanita dan meninggal dunia pada 16 Sept 2022.

Terdahulu, pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei telah mengeluarkan kenyataan pada Isnin (6 Feb)  bahawa pelaku jenayah kes iti  tidak boleh dimaafkan dan akan dikesan ‘tanpa belas kasihan’, susulan siri keracunan misteri itu telah mencetuskan gelombang kemarahan  penduduk Iran dan tuntutan tindakan daripada pihak berkuasa negara itu.

Sebilangan besar sekolah di  Iran telah dilanda keracunan sejak akhir Nov 2022, dengan murid mengalami simptom dari sesak nafas hingga loya dan vertigo selepas melaporkan bau ‘tidak menyenangkan’ di kawasan sekolah masing-masing – ada yang terpaksa dirawat di hospital.

“Dua puluh lima (daripada 31) wilayah dan kira-kira 230 sekolah telah terjejas, dan lebih 5,000 pelajar perempuan dan lelaki telah diracun,” ahli jawatankuasa pencari fakta parlimen, Mohammad-Hassan Asafari memberitahu agensi berita ISNA pada Isnin.

Tambah beliau, pelbagai ujian sedang dijalankan bagi mengenal pasti jenis dan punca keracunan. Setakat ini, tiada maklumat khusus diperoleh berhubung jenis racun yang digunakan.

Kes terbaharu yang dilaporkan ISNA melibatkan 40 murid – kesemuanya perempuan, di bandar Zahedan di tenggara bergolak pada Selasa (7 Mac).

Kes pertama dilaporkan di Qom, ibu kota Syiah Iran pada akhir Nov lalu – sebulan selepas protes Amini yang kemudiannya merebak ke universiti dan sekolah.

Pada minggu lalu, Presiden Iran,  Ebrahim Raisi telah mengarahkan kementerian dalam negeri dan agen perisikan untuk menyediakan maklumat terkini secara berterusan mengenai kes keracunan tersebut, melabelkannya sebagai ‘konspirasi musuh untuk menimbulkan ketakutan dan putus ada’ dalam kalangan rakyat.

“Kurang daripada lima peratus murid mangsa keracunan dibawa ke hospital, ditemui ‘bahan merengsa’ yang membawa mengganggu kesihatan mereka,” kata kementerian dalam negeri pada Isnin.

“Nasib baik, setakat ini, tiada bahan toksik atau berbahaya ditemui dalam mana-mana pelajar yang dipindahkan ke pusat perubatan,” tambah kenyataan itu.

Timbalan Menteri Kesihatan  Iran, Saeed Karimi dalam pada itu berkata, gejala dialami mangsa termasuk kerengsaan pernafasan, sakit perut, lemah dan lesu tubuh badan. 

“Perangsang gejala keracunan  yang disedut itu tidak semestinya gas tetapi mungkin dalam bentuk serbuk atau pes atau cecair, yang apabila dituang di atas pemanas atau diwap oleh haba boleh menyebabkan komplikasi terhadap kesihatan manusia,” jelasnya.

Sementara, Pendakwa Raya Teheran,  Ali Salehi pada Selasa, telah mengeluarkan amaran kepada pihak atau individu yang menyebarkan pembohongan dan khabar angin mengenai kes keracunan  itu akan ‘ditangani secara tegas dan sah’  lapor laman web Mizan Online.

“Dalam minggu lalu, kes dan pertuduhan mahkamah telah difailkan terhadap pengurus media Hammihan, Rouydad 24 dan Shargh, serta beberapa individu,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/3/2023

- Advertisement -