Pengguna mikromobiliti perlu rasa selamat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan usaha mendidik pengguna jalan raya supaya mempertimbangkan keselamatan pengguna kenderaan mikromobiliti.

Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata, pengguna kenderaan mikromobiliti perlu berasa selamat semasa menggunakannya walaupun terdapat kenderaan lebih besar pada masa sama.

- Advertisement -

“Tindakan kerajaan sedang membina garis panduan (penggunaan mikromobiliti) dan menjadikan Shah Alam sebagai tempat pilot project (projek perintis) memang cantik sekali.

“Memandangkan, kita akan bergerak ke arah itu, bagaimana usaha kerajaan untuk mendidik pengguna jalan raya lain terutama kenderaan lebih besar?” katanya semasa mengajukan soalan tambahan pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata kesedaran mengenai keselamatan jalan raya untuk kegunaan bersama mikmobiliti masih dalam kajian.

Kenderaan mikromobiliti

Bahkan katanya, bukan sahaja Malaysia, malah bandar-bandar di negara maju lain seperti Los Angeles dan Brisbane mempunyai spesifikasi keselamatan tertentu untuk melindungi pengguna kenderaan mikromobiliti.

“Pelbagai kajian sedang dibuat kerana mikromobiliti ini sesuatu yang dinamik, kita juga sedang melihat jika ia mampu menjadi sebahagian daripada pengangkutan awam.

“Memang kajian ini sampai hari ini, masih lagi dijalankan, jadi negara kita tidak ketinggalan juga untuk mengeluarkan satu garis panduan untuk kenderaan mikromobiliti,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/3/2023

- Advertisement -